KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA

KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA
Anda Berada Dalam Jajahan Takluk Kerajaan Pelangi Dibawah Pimpinan Laksamana Pelangi Dinaungi Enzo Kaneda-Pemerintah

Khamis, 8 April 2010

Usah tunggu selepas berkahwin


“SAYA kurang bersetuju dengan amalan wanita hari ini yang hanya akan membeli rumah selepas mendirikan rumah tangga.“Sebaik-baiknya, wanita perlu memiliki rumah sendiri sejak awal bekerja sebelum mereka berkahwin kerana ia boleh dijadikan sebagai aset pada masa depan.
“Membeli rumah sejak awal memang tidak rugi kerana harga pasarannya tidak pernah jatuh seperti barangan lain,” kata perunding motivasi kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir.
Menurut Shamsuddin, setiap wanita perlu memiliki sekurangkurangnya sebuah rumah sebagai bekalan masa depan mereka dan ia tidak perlu besar atau mewah, sebaliknya memadai dengan apa yang termampu ketika itu.
Wanita tidak boleh terlalu berharap dengan pembelian rumah secara bersama selepas berkahwin kerana sebagai manusia biasa, kita tidak tahu selama mana jodoh kita akan kekal bersama suami.
Katanya, lumrah pasangan suami isteri berharap kekal bersama ke akhir hayat, tetapi mereka seharusnya sentiasa bersedia kerana tidak tahu apa akan jadi pada keesokan hari.


“Dalam kebanyakan kes yang pernah dirujuk, saya mendapati wanita yang bercerai biasanya akan bertindak menjual rumah yang dibeli bersama suami kerana tidak mahu mengimbas kenangan lama.
“Apa yang menjadi masalah adalah apabila sudah menjual rumah berkenaan, apa lagi bekalan yang tinggal untuk dirinya dan anak-anak? Hendak membeli rumah baru bukan mudah kerana ketika itu lazimnya umur sudah melebihi 35 tahun.
“Akhirnya, ramai ibu tunggal terpaksa tinggal menyewa biarpun sepatutnya pada usia berkenaan mereka tidak perlu lagi bimbang mengenai tempat untuk berteduh,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wangsa Melawati, baru-baru ini.
Rentetan daripada itu, Shamsuddin menggesa supaya wanita tidak sesekali menjual rumah yang dimiliki (secara sendiri) walaupun dipujuk si suami untuk berbuat demikian.
Katanya, rumah yang dimiliki wanita sebelum berkahwin tidak akan menjadi harta sepencarian dan ia tidak boleh diusik pihak suami andainya berlaku perceraian.“Rumah hanya boleh dijual jika anda mahu membeli rumah baru. Selain itu, tiada alasan yang boleh digunakan untuk menjual aset masa depan berkenaan.
“Bagi wanita yang ingin membeli rumah pertama, seeloknya anda membeli rumah yang sudah siap dengan pilihan pinjaman perumahan berlandaskan perbankan Islam yang kadarnya kekal tidak berubah sehingga tahun terakhir,” katanya.
Selain itu Shamsuddin berkata, wanita terutama yang baru bekerja disaran supaya tidak bertangguh untuk membeli rumah kerana apabila umur meningkat, ia turut akan menjejaskan peluang mendapatkan pinjaman dan mungkin terpaksa membayar ansuran bulanan yang lebih mahal.
Dia berkata, bagi yang belum berumah tangga, rumah yang dibeli boleh disewakan dan ia amat membantu dalam melangsaikan bayaran ansuran bulanannya.
“Sebagai contoh, rumah pertama yang dibeli berharga RM70,000 dan bayaran ansuran bulanannya hanya sekitar RM400 saja. Jika disewakan, harga rumah berkenaan mungkin mampu mencecah RM500 hingga RM600 sebulan.
“Daripada situ kita boleh menjana pendapatan tambahan dan apa yang penting, kita tidak perlu risau mengenai bayaran kepada pihak bank kerana penyewa akan membantu kita membayarnya,” katanya.
Begitu pun kata Shamsuddin, situasi berlainan berlaku kepada masyarakat hari ini di mana golongan muda tidak kira lelaki atau perempuan, lebih berlumba- lumba membeli barangan susut nilai seperti kereta, telefon bimbit dan bergaya dengan jenama mahal berbanding memiliki harta seperti rumah sendiri.
“Kereta susut nilai sejak hari pertama kita membelinya dan jika tidak berhati-hati, ia mungkin akan hilang kerana dicuri atau terbabit dalam kemalangan.
“Bagaimanapun, ia tidak akan berlaku kepada rumah. Belum pernah yang melaporkan kepada polis rumah mereka dicuri orang.
“Tidak salah hendak bergaya, tetapi biar berpada-pada dan beringat untuk kemudian hari.
Lebih baik jika dapat menyediakan payung sebelum hujan,” katanya.
>Info Fakta: > Untuk rumah pertama, sebaiknya beli rumah yang sudah siap atau daripada pemilik sebelumnya kerana boleh mengetahui lokasi sebenar dan keadaan rumah berkenaan sebelum membeli.
> Sebaiknya pilih pinjaman jenis pembiayaan berlandaskan Islam kerana jumlah bayarannya tetap dan tidak berubah meskipun ketika ekonomi meleset.
> Rumah pertama yang ingin dibeli seeloknya berada dalam jarak tidak melebihi 30 kilometer daripada kediaman yang disewa sekarang.
Selain mudah untuk dilawati, kita juga senang berpindah ke sana seandainya tidak dapat mencari penyewa yang bersesuaian.
> Pilih rumah yang dibina di kawasan yang sudah dibangunkan sepenuhnya dan jangan mengambil risiko membeli rumah yang persekitarannya masih terdapat kawasan hutan yang belum dimajukan.
> Elakkan daripada membeli rumah jenis servis apartmen kerana bayarannya lebih mahal dan tidak munasabah.
> Jika membeli rumah untuk disewa, usah bimbang mengenai tempoh pinjaman yang panjang tetapi pilih tempoh pinjaman yang lebih pendek untuk rumah yang ingin diduduki.
> Jangan terburu-buru menerima penyewa, sebaiknya periksa dulu serba sedikit mengenai latar belakang.


Miliki rumah pada usia muda

“KENAPA perlu bersusah payah untuk beli rumah sekarang? Bukan ke lepas kahwin nanti, boleh kongsi membelinya dengan suami?” Demikian kata-kata yang sering didengari sejak dulu hingga kini. Bukan mahu menidakkan saranan berkenaan, tetapi apabila difikir secara logiknya, mengapa perlu menunggu berumah tangga terlebih dulu untuk membeli rumah jika sudah berkemampuan untuk membelinya sendiri? Dalam hal berkenaan, pasti ramai yang akan mengatakan bahawa menggabungkan dua nama lebih memudahkan urusan pembelian dan pinjaman perumahan. Sebenarnya, menggabungkan dua nama itu mempunyai pro dan kontra yang perlu difikirkan dengan mendalam.
Memiliki rumah sendiri bagi wanita umpama menyediakan perlindungan untuk diri mereka sendiri dan anak-anak. Tetapi, sayangnya, kebanyakan golongan muda hari ini yang sudah setahun dua bekerja dan belum memiliki komitmen keluarga lebih gemar menghabiskan duit membeli kereta, telefon bimbit mahupun bergaya dengan pakaian mahal.
Sedar atau tidak, semua barangan berkenaan akan susut nilai dengan ketara sejak hari pertama pembelian berbanding rumah yang harganya tidak pernah jatuh malah semakin hari semakin meningkat.
Sama ada kecil atau besar, rumah amat penting kerana ia akan menjadi tempat untuk berteduh dan kemudian menjadi harta diwarisi kepada anak kelak.
Tidak hairanlah jika ruang pameran perumahan dan hartanah, Mapex 2010 yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat yang kini semakin memahami mengenai kepentingan untuk memiliki aset hartanah berkenaan.
Seeloknya, bagi yang sudah setahun dua bekerja dan berkemampuan perlu memiliki rumah sendiri daripada membayar sewa yang bukan sedikit jumlahnya. Kontranya jika menyewa, kita terikat dengan peraturan pemilik rumah dan tidak bebas menghias mengikut cita rasa sendiri. Alangkah baik wang sewa bulanan itu dikeluarkan untuk membayar ansuran rumah yang dibeli dan akhirnya akan menjadi harta sendiri.
Pegawai Hal Ehwal Korporat syarikat perumahan di Melaka, Rahayu Abdul Aziz, 30-an, berkata, dia membeli rumah jenis pangsapuri di Shah Alam, Selangor, berharga RM100,000, selepas tiga tahun bekerja.
Sewaktu membeli rumah berkenaan, umurnya baru 26 tahun dan dia mengeluarkan duit simpanannya berjumlah RM10,000 sebagai bayaran pendahuluan untuk membeli rumah itu serta bakinya dibayar menerusi pinjaman bank.
Dia berkata, memiliki rumah sendiri memang menjadi cita-citanya sejak mula mula bekerja kerana ia bukan saja menjadi tempat tinggalnya malah mampu dijadikan sebagai pelaburan masa depan.
Katanya, ibunya agak terkejut dengan keputusan membeli rumah sendiri, tetapi baginya, dia perlu membeli rumah sebagai aset masa depan kerana jika berkahwin sekali pun, ia tetap menjadi hartanya.
“Sebelum membeli rumah, saya menyewa bilik hampir dua tahun di Shah Alam pada harga RM400 sebulan. Walaupun tidak selesa kerana terpaksa berkongsi ruang rumah, memandangkan pada masa itu belum berkemampuan, saya tidak mempunyai pilihan.
“Sebab itu, sebaik saja wang simpanan mencukupi, saya terus membeli rumah sendiri yang tidak jauh dari rumah disewa. “Untungnya, bayaran ansuran bulanan rumah yang dibeli tidak jauh beza dengan jumlah yang saya bayar ketika menyewa dulu.
“Memiliki rumah sendiri memang seronok kerana kita bukan saja bebas menghias mengikut cita rasa sendiri malah apa yang penting, kediaman berkenaan mempunyai ruang yang cukup buat keluarga yang datang menziarah dari kampung. “Biarpun kini saya ditukarkan ke Melaka, rumah berkenaan tetap tidak disewakan kerana sayang dan jika ada kelapangan atau cuti, pasti saya akan menghabiskan masa di sana,” katanya.
Mawar Aini Khabib juga sudah memiliki rumah idamannya jenis teres, meskipun usianya baru mencecah 25 tahun.
Eksekutif Sumber Manusia syarikat swasta di Petaling Jaya itu berkata, rumah yang dibelinya berhampiran dengan rumah keluarganya di Ampang. Dia tidak menyesal mengeluarkan wang simpanannya selama ini untuk membayar 30 peratus wang pendahuluan kerana nilai hartanah di kawasan berkenaan semakin meningkat.
Keputusan membeli rumah berkenaan disokong penuh ibu bapanya kerana dapat dijadikan aset untuk masa depan.
Selain itu, ramai rakan sebayanya juga sudah memiliki rumah sendiri dan ia sedikit sebanyak mendorong dirinya untuk memiliki aset hartanah berkenaan.
“Oleh kerana masih tinggal bersama keluarga, duit pun tidak banyak sangat yang dikeluarkan tetapi itu tidak mendorong saya sakan berbelanja kerana ibu dan ayah sering berpesan supaya beringat serta menyimpan gaji bulanan dengan sebaiknya.
“Bagi saya memiliki rumah sendiri lebih penting daripada membeli kereta. Jika ada rezeki lebih, saya mahu membeli rumah jenis pangsapuri pula untuk disewakan sebagai pelaburan jangka panjang.
“Buat masa sekarang, kereta tidak menjadi keperluan penting tetapi mungkin saya akan membelinya juga dalam masa dua atau tiga tahun lagi,” katanya.
Pengurus Agensi CWA Berhad, Safarina Husin, 30, pula berpendapat keputusan memiliki harta atau tidak untuk aset masa depan sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri.
Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak, itu kini sudah memiliki sebuah kondominium berharga lebih RM300,000 dan dua kereta mewah selepas lebih tiga tahun bekerja di agensi perbankan berkenaan.
Kata Safarina, kerjayanya bukan mendapat gaji tetap setiap bulan seperti orang lain dan disebabkan itu, dia perlu sentiasa menyimpan serta melabur dengan bijak untuk masa depan apatah lagi menjadi anak sulung seperti dirinya.
“Ramai golongan muda hari ini tidak menyimpan atau beringat untuk masa depan mereka dan rumah adalah satu contoh aset terbaik untuk dimiliki setiap orang tidak kira lelaki atau wanita.
“Bagi yang terbabit dalam bidang perbankan atau pelaburan, mereka semestinya sudah arif mengenai betapa pentingnya memiliki aset tetapi pada mereka yang tidak mengetahui, mereka mungkin mempunyai pendapat berlainan.
“Apapun tidak rugi memiliki harta pada usia muda kerana yang untung diri kita juga,” katanya.
(rujukan ini saya kongsikan drp terbitan Harian Metro untuk imu bersama)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan