Laman web tawar upah buat tugasan, kerja rumah AS$2
SYDNEY - Pelajar-pelajar sekolah tinggi dan universiti di Australia menghantar kerja rumah dan tugasan untuk disiapkan ke India, Pakistan dan Mesir menerusi laman web di Internet dengan upah serendah AS$2 (RM6.21), lapor sebuah akhbar semalam.
Laman web itu menawarkan perkhidmatan untuk menyiapkan esei dalam bahasa Inggeris dan tugasan matematik.
Antara laman web itu ialah canadian essay.com, realassignment writing.com dan dissertation india.com mengiklankan harga dan tugasan yang ditawarkan.
Kebanyakan tugasan itu disiapkan oleh siswazah dari India dan Pakistan.
Pihak pengurusan sekolah gagal untuk menghalang pelajar yang menipu dengan menggunakan kemudahan itu kerana ia pada kebiasaannya gagal untuk dikesan dengan perisian plagiat.
Seorang pengasas sebuah laman web yang menempatkan tawaran perniagaan secara kecil-kecilan, Mat Barrie berkata, kerja rumah dan tugasan kerap di hantar ke lamannya, www.freelancer.com.
"Kami memperolehnya (tawaran itu) pada setiap masa," katanya.
"Sebagai pensyarah, saya tidak menyukainya tetapi sebagai pelajar, mereka cuba berusaha mencari jalan untuk menipu," tambahnya.
Menurutnya, terdapat pelajar di India yang memberikan jawapan dengan bayaran cuma beberapa dolar.
Pensyarah itu berkata, beliau pernah melihat soalan matematik dijawab dengan upah hanya AS$2 sahaja.
Akhbar Sunday Telegraph berjaya menghubungi seorang pekerja yang menawarkan perkhidmatan itu, Mohammed Ali Khan, 23, dari Islamabad, Pakistan yang merupakan seorang siswazah.
"Ia merupakan kerja sambilan saya. Saya memperoleh tugasan itu dari seluruh dunia termasuk dari Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK)," katanya.
Ketika ditanya berapa jumlah yang akan dikenakan untuk 1,000 perkataan bagi esei bahasa Inggeris Tahun 12, Mohammed memberi jawapan sebanyak AS$10 (RM31.09).
Menurutnya, beliau mendapat banyak tugas daripada pelajar-pelajar Australia.
Pihak pengurusan akademik berasa bimbang dengan gaya baru penipuan itu.
"Kami mengambil perhatian ini dengan amat serius, tetapi sedihnya, ia bukannya satu kejutan," kata Penolong Dekan University of Western Sydney, Craig Ellis.
Menurutnya, trend terbaru itu mencetuskan kebimbangan kerana ia sukar untuk dikesan disebabkan harga upah yang dikenakan terlalu kecil. -
Kesimpulan: Jika mahu pencarian ilmu kena bersusah payah, jika hanya mahu kertas sekeping tertulis Ijazah/Diploma silakanlah.Tepuk dada tanya selera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan