Hantu..Hantu..kesian sekarang semua hantu menjadi penganggur kerana manusia berebut menjadi hantu.. semua pengusaha filem berebut membikin cerita hantu begitu juga TV. Setiap malam Jumaat penuh dengan cerita hantu..wajib TV3 sudah semestinya menyuap dengan cerita-cerita begini setiap malam Jumaat seolah-olah itulah hari hantu keluar bermaharajalela dan bukannya PENGHULU kepada segala hari . Hari kemuliaan dan keberkatan. Di sini disiarakan betapa dangkalnya kita ..hantuphobia yang menguasai setiap urat sendi fikiran kita. Hantu telah berkeliaran di Malaysia dalam fikiran kita...Makhluk halus & jin memang diyakini wujud kerana tertulis dalam Al Quran tapi ia hanyalah untuk menyesatkan manusia dan melalaikan
Dua soalan saya
1.)Adakah anda pernah berjumpa hantu..? .
2.) Berapa ramai manusia di Malaysia atau di kawasan kejiranan anda telah dibunuh, dihisap darahnya oleh hantu..rasanya akibat kemalangan jumlahnya tinggi ?
Drama separuh seram Siti Balqis
Oleh - Abd Jalil Ali (SINAR HARIAN)
Ada ketikanya oleh sebab terlalu percaya pada benda-benda ghaib, kita hilang semua kewarasan sehingga tidak boleh berfikir secara logik walaupun untuk perkara-perkara yang amat mudah. Betullah kata orang tua dulu-dulu: Bagi yang penakut, tunggul pun disangka hantu!
Kisah pelik Siti Balqis Mohd Nor adalah contoh paling klasik. Untuk tempoh kira-kira sebulan, masalah gadis berusia 22 tahun dari Kampung Gong Nangka, Apal, di Besut, Terengganu ini, telah membuat ramai orang bingung, mungkin ada yang separuh sewel.
Paling tertekan ialah ibunya, Norizan Said, 47, yang tidak dapat tidur lena, tidak lalu makan-minum, dan setiap saat dalam kebimbangan. Turut prihatin ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Agama dan Penerangan negeri Terengganu, Khazan Che Mat, ADUN Jabi, Ramlan Ali, dan Pengarah Yayasan Islam, Md Kamaru Al-Amin Ismail.
Tiga orang ustaz juga bertungkus-lumus membaca surah Yasin dan melakukan solat hajat selama beberapa hari untuk membantu. Tidak ketinggalan ialah 17 bomoh handalan yang siap sedia memberi khidmat rawatan tradisional tanpa meminta sebarang bayaran
Tentu sekali turut kebingungan dan berdebar ialah berjuta-juta orang seluruh negara yang setiap hari mengikuti perkembangan menerusi akhbar dan TV. Sebuah stesen TV popular menyiarkan program khas untuk gadis misteri ini. Pendek kata kampung terpencil di Besut yang tidak pernah dikenali, tiba-tiba menjadi tumpuan berita setiap hari.
Semuanya kerana misteri Balqis. Gadis itu mendakwa telah dilarikan oleh jin. Konon sudah lebih 100 kali dia dibawa mengembara oleh jin ke beberapa lokasi, termasuk di tanah perkuburan dan di puncak bukit. Dia memberitahu ibunya, dalam pengembaraan itu dia telah menyaksikan berbagai makhluk aneh seperti manusia berkepala anjing, dan gorila.
Ketika hilang dia menghubungi ibunya menerusi SMS, memberitahu lokasi dia dibawa jin. Menerusi SMS juga dia menyatakan ketakutan melihat benda-benda pelik, dan menegaskan “tidak mahu mati.” Setelah menghantar SMS gadis yang dalam keletihan itu ditemui di kawasan berhampiran rumah termasuk di kebun juga di atas pokok.
Sekiranya ada sedikit kewarasan, apa yang diceritakan oleh Balqis sebenarnya bukan luar biasa. Dalam zaman sekarang gadis hilang atau lari dari rumah adalah biasa. Perkara ini terjadi setiap hari di mana sahaja. Ada yang lari mengikut kawan untuk beberapa hari. Malah, ada yang lari mengikut kekasih hingga ke Lombok. Jadi, apa peliknya Balqis hilang dari rumah untuk beberapa jam? Dia boleh keluar pada bila-bila masa!
Juga, apa luar biasanya SMS yang mengatakan dia berada di atas bukit? Usahkan di atas bukit atau di kawasan kubur, kalau dia mahu dia boleh memberitahu sedang berada di tengah laut, atau di dalam gua. Malah, dia boleh menulis SMS: “Saya kini bersama jin sedang berada di puncak Gunung Merapi sambil melihat gunung itu meletup...saya amat takut!”
Kalau ada sedikit kewarasan, kita sepatutnya bertanya, bagaimana dalam keadaan dikawal ketat oleh jin dia boleh menghantar SMS kepada ibu? Apakah jin berkenaan tidak mengetahui kecanggihan ICT? Tetapi, soalan seperti itu tidak pernah wujud dalam fikiran, sebab semua orang terlalu yakin gadis remaja itu betul-betul dilarikan jin.
Malah, dalam kekalutan itu ada pula dua orang bomoh yang merawat Balqis, dan berjaya menangkap tujuh jin. Jin-jin tersebut dimasukkan ke dalam botol. Orang ramai boleh melihat botol-botol tersebut – semua nampak botol, tetapi tidak nampak jin! Walaupun tidak nampak jin, semua orang semakin kuat mempercayai Balqis dikuasai jin.
Kemudian timbullah kejadian-kejadian yang dikatakan aneh seperti 13 butir batu permata yang tiba-tiba jatuh ke dalam rumah, kononnya dilemparkan oleh jin sebagai amaran. Tidak adakah yang bertanya di mana pula jin membeli batu-batu permata pelbagai warna itu? Dan, apa perlunya dia memberi amaran menerusi batu-batu permata itu?
Kemuncak dari episod separuh seram ini ialah apabila Balqis menghantar SMS kepada ibunya memberitahu dia berada di puncak Gunung Jerai di Kedah. Sebelum kehilangan itu ada yang melihat gadis tersebut di dalam sebuah kereta Kancil. Itu semakin menguatkan keyakinan bahawa dia dilarikan jin. Kalau ada kewarasan, tentu kita bertanya jika jin boleh membawa Balqis ke mana sahaja dalam sekelip mata, mengapa dia perlu naik kereta untuk ke Gunung Jerai?
Akhirnya terbukti semua yang dikatakan pelik itu hanyalah cerita rekaan. Gadis tersebut ditemui tanpa menggunakan kaedah tradisional atau bomoh, tidak juga dengan jampi serapah, sebaliknya menggunakan siasatan polis. Dia dikesan bukan di Gunung Jerai tetapi di rumah kenalannya di Kampung Ulu Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Bukan sebab jin atau makhluk halus, tetapi dia lari dari rumah atas kehendak sendiri. Ertinya jin atau makhluk halus tidak bersalah, dan tidak terlibat dalam kes ini.
Kalaulah ini adegan dalam filem, Siti Balqis memang boleh dicalonkan untuk anugerah ‘Pelakon Wanita Terbaik’ pada Pesta Filem Malaysia. Tetapi lakonannya terjadi di luar filem, dan kelihatan amat realistik, sehingga sempat memperdaya banyak orang termasuk wakil rakyat, pegawai agama, ustaz dan bomoh. Maka kita sekarang patut bertanya, perlukah kita melepaskan tujuh jin yang dikurung dalam botol itu? Arggh....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan