KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA

KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA
Anda Berada Dalam Jajahan Takluk Kerajaan Pelangi Dibawah Pimpinan Laksamana Pelangi Dinaungi Enzo Kaneda-Pemerintah

Isnin, 19 September 2011

Jangan Baca Jika Kita Masih Belum Puas Enjoy Lagi Zaman Muda & Keep In View (KIV)

Kajian Global Aging Report, satu soal-selidik yang dikendalikan syarikat survey pasaran terkenal di dunia, The Nielsen Company, sebanyak 56% rakyat Malaysia bersara, atau ingin bersara sebelum usia 60 tahun. Namun demikian, dalam soal selidik yang sama, hanya 21% rakyat Malaysia bersedia dari segi kewangan untuk persaraan.
Dengan kata lain, daripada 10 orang Malaysia, hanya dua orang yang memiliki syarat dari segi kewangannya untuk bersara. Sementara itu, 44% orang tidak pasti sama ada dirinya bersedia dari segi kewangan untuk bersara, malah satu pertiga berterus-terang bahawa keadaan kewangan sekarang tidak membenarkan dirinya bersara pada masa yang dijangkakan.
Meskipun kebanyakan responden agak optimis dengan keadaan ekonomi sekarang dan masa depan kerjayanya, tetapi mereka tidak yakin untuk meramal secara tepat - bagaimana inflasi memberi impak terhadap kuasa membeli konsumer dalam 20 hingga 40 tahun di depan. Konsumer bimbang, seandainya kos makanan, air dan elektrik, pengangkutan dan sebagainya terus melonjak, barangkali wang pencennya gagal menampung hidup dirinya selepas bersara. Justeru itu, sesetengah memilih untuk menukar pekerjaannya, atau berniaga untuk menambah pendapatan mahupun memperbaiki keadaan kewangannya, untuk memastikan cara hidup persaraan yang selesa.


Impak tersilap anggar kesan inflasi
Pada hakikatnya, seseorang penduduk pusat bandar Kuala Lumpur yang berdepan dengan kenaikan harga barangan, amat merasai bahang inflasi tersebut. Inflasi bagaikan binatang buas yang membaham kuasa membeli anda, tanpa anda sedari. Justeru itu, tersilap anggar paras inflasi, ataupun kesannya, bakal mengundang malapetaka yang besar. Ia bukan sahaja mencelarukan rancangan persaraan, malah memerangkap seseorang dalam krisis kewangan.
Menurut perhitungan kasar wartawan MerdekaReview, seandainya seseorang warga kota bujang pada usia 30 tahun memerlukan RM35,000 setahun (atau RM3,000 sebulan) untuk mengekalkan cara hidup sekarang, maka beliau memerlukan RM47,037 setahun (atau RM3,920 sebulan) untuk mengekalkan cara hidup yang sama pada 10 tahun akan datang - dikira pada kadar inflasi 3%. 20 tahun kemudian, beliau memerlukan RM63,214 setahun (atau RM5,268 sebulan) untuk mengekalkan cara hidup tersebut.
Seandainya diambil kira kadar inflasi pada 4%, maka si bujang ini memerlukan RM51,807 setahun (atau RM4,317 sebulan) pada 10 tahun akan datang, dan RM76,689 (atau RM6,390 sebulan) pada 20 tahun akan datang - untuk mengekalkan cara hidup sekarang.
Begitu juga, seandainya sesebuah keluarga dalam kota memerlukan RM60,000 setahun (atau RM5,000 sebulan) untuk mengekalkan cara hidup sekarang, maka dengan kadar inflasi 3%, keluarga ini memerlukan RM120,000 setahun (atau RM10,000 sebulan) pada 20 tahun akan datang; dan kadar inflasi 4% bakal melonjakkan perbelanjaan sesebuah keluarga kepada RM131,462 setahun (atau 11,000 sebulan) pada 20 tahun akan datang - untuk mengekalkan cara hidup asal.


Inflasi lebih mendadak di bandar

Perhitungan ini hanya berdasarkan kadar inflasi rasmi, pada purata 3-4%. Pada hakikatnya, kadar inflasi di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur lebih tinggi daripada angka yang diumumkan kerajaan. Sesetengah pakar perancang kewangan menganggarkan kadar inflasi pada paras 6% ke atas, namun keadaannya mungkin lebih parah.
30 tahun dahulu, sebuah kereta import hanya berharga RM17,000; kini, sebuah kereta import yang biasa memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000. Biarpun harga kereta tempatan yang secara perbandingannya lebih murah, misalnya Myvi, ia memerlukan RM45,000 hingga RM50,000 - dua kali ganda lebih berbanding 30 tahun yang lalu.
Begitu juga, sesebuah rumah teres (tidak bertingkat) berharga kira-kira RM78,000 di Kuala Lumpur pada 30 tahun yang lalu, kini satu unit apartment di Kuala Lumpur bernilai sekurang-kurangnya RM300,000, purata harga rumah telah melonjak kepada RM480,000 - bersamaan enam kali ganda harga rumah di Kuala Lumpur pada 30 tahun yang lalu. Menurut anggaran pakar hartanah dan pemaju, harga rumah di Kuala Lumpur melonjak pada purata 10%-20% setiap tahun.
Kos pendidikan meningkat pada kadar 6% setiap tahun; kos perubatan bertambah pada kadar 15% setiap tahun. Rasionalisasi subsidi yang diperkenalkan kerajaan Najib Razak (pemotongan subsidi petrol, diesel, gula, gas asli dan sebagainya), telah mengakibatkan kenaikan harga makanan, bahan api, pengangkutan, elektrik, lantas melonjakkan kadar inflasi. Ia sememangnya lebih daripada perangkaan rasmi, iaitu 3%-4% yang diumumkan. Seandainya dihitung dengan kadar inflasi 6%, maka kos makanan harian RM20 sekarang bakal melonjak kepada RM64 pada 20 tahun akan datang.


Cabaran untuk warga kota

Kini, usia warga semakin panjang, dengan wanita 76 tahun dan lelaki 72 tahun. Ditambah pula pola "lewat berkahwin, lewat beranak" (yang juga berpunca daripada kenaikan kos kehidupan di bandar), ia menjadi satu cabaran besar untuk warga kota bersara pada usia yang diingininya - lebih-lebih lagi kemampuan menabung yang terbatas.
Misalnya, jikalau sepasang suami isteri melahirkan anak pertama mereka pada usia 35 tahun, maka anak mereka hanya berusia 20 tahun ketika mereka berumur 55 tahun. Anaknya kemungkinan besar memerlukan wang untuk belajar di universiti atau kolej pada ketika itu. Mereka terpaksa mengeluarkan wang pencen untuk menampung kos pendidikan dan kehidupan anak mereka, melainkan jika kos pendidikan telah disediakan sebelum ini. Situasi ini akan menjejaskan kehidupan mereka selepas bersara.
Lebih penting, memandangkan kos perubatan semakin meningkat (pada purata 15% setiap tahun), maka ia bakal menghakis wang pencen atau simpanan pasangan suami isteri ini - seandainya tiada jaminan insurans. Meskipun dijamin insurans, penyakit akan menyusul langkah usia yang semakin lanjut. Maka kos untuk perbelanjaan perubatan akan menjadi bagai lubang tidak berpenghujung.


Rujukan :merdekaReview.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan