KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA

KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA
Anda Berada Dalam Jajahan Takluk Kerajaan Pelangi Dibawah Pimpinan Laksamana Pelangi Dinaungi Enzo Kaneda-Pemerintah

Khamis, 24 Februari 2011

Kad undangan kahwin dan budaya

Ini ialah kisah kad undangan ke majlis perkahwinan. Saya tidak dapat memastikan sejauh manakah kisah kad ini penting bagi pembaca. Mungkin ada menganggap kisah ini tidak penting, jika demikian ketepikan saja.



Ketika singgah di rumah sahabat saya (Karim) di Lumut; dia, isteri, anak dan menantunya sedang bercakap-cakap tentang kad undangan perkahwinan. Mereka menerima kad undangan, tetapi tidak bertulis nama orang yang diundang. Oleh sebab hubungan kami akrab, ketika tiba mereka tidak mengubah tema percakapan. Saya bukan saja mendengar, malah menonton aksi mereka. Saya pun teringat akan pengalaman sendiri.


Dalam kes Karim dan keluarganya, pihak mengundang memesan kad undangan yang cantik dan memberikan kad itu kepada sesiapa yang diingatinya, tempat nama itu dibiarkan begitu. Tuan rumah itu sedikit pun tidak terfikir bahawa yang penting bukannya kad cantik, tetapi nama pihak yang akan diundang.


Saya minta kad itu. Inilah bunyi tulisan bercetak: Zaifran Zainol dan Miazara Muluk mempersilakan ________ ... seisi keluarga ke majlis perkahwinan anak kami pada hari Sabtu 19 Mac 2011. (Ditulis alamat dan juga atur cara majlis.) Tempat kosong itu tidak diisi, bawa makna, pihak yang mengundang itu tidak jemput sesiapa pun. Dia hanya memberi kad yang cantik itu untuk dibaca, dan mungkin elok dimasukkan ke dalam album atau frame. Tidaklah dapat saya putuskan, apa makna perlambangan ini.
Saya tidak tahu, adakah pembaca akhbar ini berpengalaman menerima kad undangan tanpa nama. Saya sendiri pernah, tetapi apabila sahabat bercakap panjang tentang perasaannya, barulah saya teringat perasaan sendiri ketika menerima kad bogel begitu tiga tahun lalu. Saya berasa malu menerimanya, dan keputusan; tidak pergi! Habis cerita.


Karim bercakap panjang lebar tentang kad tersebut, bererti dia tersinggung. Katanya, orang sekarang sudah tidak ambil berat soal corak hubungan antara satu dengan lain. Pemberi kad itu ialah anak saudaranya. Bukankah elok panggilan Pak Lang Karim Maaruf ditulis di tempat berkenaan. Semua bapa saudara akan berasa besar hati, bangga dan gembira apabila nama (berserta panggilan kekeluargaan) ditulis di situ. Jika kad tanpa nama, “…hendak dibaca kali kedua terasa sebak dada,” kata Karim.


Walaupun kad jemputan adalah tradisi moden, penerimaannya meluas sekali dalam masyarakat kita. Bagi sesetengah orang, kecantikan kad itu diutamakan, sehingga mereka tidak sanggup menulis nama Makcik Besah, Maklong Hasnah, Paksu Kamal, Pakcik Razak dan lain-lain. Namun kita dapat mengagak, jika kad itu hendak dihantar kepada seseorang yang ada gelaran (Datuk atau Tan Sri), nama dan gelaran itu ditulis dengan baik. Paklang, Pakcik, Makngah dan lain-lain adalah orang biasa, buat apa dituliskan? Itulah fikiran moden yang sesat.


Teringat pula kad undangan diterima kakak sepupu saya, Kak Latifah. Ini cukup memilukan - kad daripada anak sendiri, dan tempat nama itu diisi perkataan ‘Mak Pah’. Sampai hati anaknya menuliskan ‘Mak Pah’, panggilan yang menunjukkan jauh hubungannya dengan ibu sendiri. Kak Latifah hanya tersenyum pahit.


Orang paling sedih dalam keseluruhan cerita di atas tentulah Kak Latifah. Namun, dia tidak memanjang-manjangkan cerita, dia menerima saja kejadian itu. Di sebalik yang berlaku bukannya penderhakaan, cuma kejahilan akal dan kemalapan emosi. Kak Latifah mungkin sudah melupakan hal itu, kerana anaknya baik. Anak yang baik akan lebih baik jika mengenal budaya sedalam-dalamnya.


Kesimpulannya, jika kita menempah kad undangan perkahwinan, hendaklah bersedia untuk duduk berjam-jam menulis nama dan panggilan hormat kepada setiap yang diundang. Sia-sialah kad diberikan jika penerima berasa tawar, apatah lagi tersinggung, malah sedih.


oleh RAHMAN SHAARI



2/20/2011 2:57:25 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan