APABILA harga minyak petrol naik, purata pengguna akan turut merasai kesan teori domino ke atas harga barang keperluan harian dan perkhidmatan. Sejak kebelakangan ini, kenaikan harga barang keperluan termasuk petrol seolah-olah menjadi perkara biasa namun, ia membebankan kepada golongan berpendapatan rendah.
Pemilik kenderaan yang membayar RM1.85/liter untuk RON95 dan RM2.10/liter bagi RON97 pada Julai lalu kini membayar masing-masing RM1.90 dan RM2.50. Ramai pemilik kenderaan tidak begitu gemar petrol RON95 yang diberi subsidi tinggi, berikutan ia menjejaskan prestasi kenderaan sedangkan penggunaan RON97 meningkatkan perbelanjaan bulanan.
Harga bawang kecil dari India yang dijual pada harga RM4 sekilogram (kg) bulan lalu kini dijual pada harga RM14 di beberapa buah tempat. Pada masa yang sama, harga sayur, ayam, ikan dan hampir semua barang keperluan juga naik.
Dengan kadar kenaikan yang begitu kerap ada yang berputus asa dan berharap harga akan stabil. Pada masa kini, para pengguna hanya membayar sahaja tanpa banyak soal kepada peniaga atau penyedia perkhidmatan kerana beranggapan harga mungkin akan naik lagi pada hari berikut.
Ada juga yang melalui pengalaman harian berlainan kerana harga barang yang diperlukan seolah-olah tiada beza sejak setahun lalu.
"Saya sering makan di kedai yang boleh tahan cantik dan bersih tetapi tak sedar pula kalau harga makanannya lebih mahal ataupun tidak? Nasi putih dengan ikan goreng, sayur campur dua macam dengan air lobak merah, lebih kurang RM7. Pada saya, harganya berpatutan," kata pesara kerajaan Abbas Hasan, yang kini pendidik secara kontrak di Nilai, Negeri Sembilan.
Mungkin harga itu dirasakan berpatutan di Nilai berdasarkan jumlah pengunjung yang ramai.
Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) beranggapan harga barang tidak pernah turun.
"Semuanya semakin mahal. Cuma kita perlu pilih dengan berhati-hati dan pastikan pembelian tidak melampaui bajet," kata Mildred dari Sabah.
Rungutan pengguna
Seorang pengusaha gerai makanan, Siti Gayah Muhammad menjelaskan, dia menetapkan harga makanan yang dijual. "Kita tengok harga bahan mentah untuk lauk itu. Harga bawang kecil dan besar, putih dan merah, sudah naik berlipat kali ganda, stok pun payah ditemui.
"Harga sebiji bawang besar belanda bersaiz sederhana ialah 40 sen. Saya beli juga sebab bawang besar dari India cepat rosak. Akibatnya, sama ada masakan perlu dikurangkan penggunaan bawang atau harga dinaikkan dengan membeli bawang mahal," kata Siti sambil mengacau masak lemak cili apinya.
Walaupun pembeli merungut, dia tiada pilihan untuk memastikan masakan tetap sedap dan penjual tidak rugi.
Selain kos perjalanan dan makanan yang semakin mahal, tanpa disedari harga kediaman juga semakin tinggi.
Beberapa syarikat pembinaan menyatakan, projek yang menjadi tumpuan syarikat lebih cenderung ke arah rumah mewah seperti rumah dua tingkat, berkembar dua dan banglo.
Sebuah rumah teres dua tingkat yang sederhana kini boleh mencecah harga sehingga RM1 juta di Lembah Klang manakala banglo pula berharga tiga hingga empat kali ganda jumlah itu.
"Tumpuan syarikat kami ialah rumah yang lebih luas dan selesa. Kualiti pembinaan sememangnya yang paling utama. Bahan yang digunakan juga mempunyai gred yang lebih tinggi. Inilah sebabnya mengapa harga rumah di Selangor lebih tinggi. Bak kata pepatah, alah membeli menang memakai!" jawab seorang pekerja syarikat perumahan ketika ditanya mengenai harga rumah yang 30 peratus siap di kawasan projek terbarunya di Shah Alam.
Adakah pembeli mampu membayar ansuran bulanan kalau hanya bekerja makan gaji memandangkan nilai pinjamannya sangat tinggi?
"Orang yang tinggal di bandar, yang berkereta ke pejabat, perlu berbelanja makan tengah hari pada hari bekerja, bayar tempat letak kereta bulanan, ada sewa rumah dan punya keluarga beranak dua pasti sukar untuk menyimpan RM500 sebulan," kata Datuk Dr. Ma'amor Osman, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) apabila diminta memberi komen tentang peningkatan harga barang dan perbelanjaan harian rakyat Malaysia pada masa kini.
Kalau ada pembantu rumah sudah pasti lebih besar perbelanjaannya. Dengan pendapatan bersama, kelamin beranak dua, berumur dalam lingkungan 30 tahun, yang berjumlah antara RM7,000 dan RM8,000, jika ingin tinggal di pinggir bandar pun pasti tidak selesa hidup jika rumah semahal itu menjadi pilihan untuk ditanggung liabiliti membayar pinjaman sehingga 35 tahun lamanya.
Bayaran bulanan kepada bank swasta, jika pinjaman sebesar RM1 juta itu diambil hari ini, akan ditolak lebih RM5,000 daripada pendapatan bersih mereka, katanya.
Ma'amor berkata, harga barang yang mahal menggalakkan penggunaan kad kredit dan amalan yang sepatutnya dikikis.
"Pastikan bajet tetap sama. Jangan berikan peniaga mesej yang salah. Mereka yang berpendapatan tetap tidak dapat mencari jalan keluar sekiranya harga barang terus naik.
"Misalnya bawang yang menjadi bahan utama dalam hampir semua masakan tempatan naik mendadak baru-baru ini akibat kesan cuaca. Ini menjadi satu bebanan baru. Mereka yang berniaga tak berapa merasai tambahan beban ini kerana jika harga barang naik, peniaga turut menaikkan harga jualan mereka," kata Ma'amor.
Cuaca tidak menentu
Beliau melihat kos perkhidmatan pengangkutan awam yang meningkat adalah sesuatu yang perlu dikawal dan dipantau supaya rakyat tidak terus terbeban.
Tambahan pula kenaikan gaji tahunan juga tidak tetap dan lazimnya ia tidak melebihi lima peratus.
Harga tiket bas ekspres ke negara jiran Singapura meningkat kepada RM95 sehala berbanding RM75 pada tahun 2010. Harga tersebut hanya kurang RM4 berbanding harga tiket promosi kapal terbang ke republik itu. Alasan kenaikan harga ialah kerana musim cuti sekolah.
Harga barang yang semakin tinggi tidak boleh disalahkan kepada peniaga dan pembekal semata-mata, kata wakil Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
"Bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan cuaca kemarau yang melampau, yang melanda dunia, antara sebab kekurangan bekalan barang keperluan seharian. Lagipun kebanyakan sumber makanan negara ini diimport termasuk gula, tepung dan beras.
"Apabila permintaan melebihi bekalan, pasti harganya meningkat kerana bekalan yang terhad ini," kata Mohd. Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan FOMCA. Apapun, pengguna perlu membuat pilihan dengan berhati-hati ketika harga tidak stabil.
"Barang keperluan biasanya akan stabil pada harga baru dan sekiranya bekalan pulih seperti sediakala, penurunan harga tidak berlaku secara mendadak berbanding ketika ia dinaikkan. Kadang-kadang ia tak berlaku langsung. Carilah alternatif kalau boleh," pesan Mohd. Yusof.
Pengguna yang bijak membuat pilihan dan sanggup bersuara pasti dapat mengubah keadaan masa kini kepada tahap yang lebih baik. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan