KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA

KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA
Anda Berada Dalam Jajahan Takluk Kerajaan Pelangi Dibawah Pimpinan Laksamana Pelangi Dinaungi Enzo Kaneda-Pemerintah

Isnin, 22 November 2010

Informasi Kepada Perniagaan Online

Tekad usahawan baru generasi dot.my
Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN (UTUSAN -23/11/10)


SIAPA kata anak Melayu tidak mampu merentas sempadan dan berdiri di atas kaki sendiri untuk meniaga?
Bagi enam anak muda, walaupun baru berusia 27 tahun tetapi mereka telah bergelar usahawan berjaya dengan masing-masing mempunyai perniagaan berpotensi.
Bermula dari pertemuan di Pusat Pendidikan Antarabangsa (dahulunya Pusat Pendidikan Persediaan) di Shah Alam, mereka menjadikan persahabatan sebagai landasan untuk terus maju ke hadapan.
Bagi mereka, makan gaji mungkin jalan penyelesaian terakhir dalam mencari nafkah hidup kerana bagi mereka berniaga adalah jalannya.
Ada yang berniaga perkhidmatan berkaitan komputer, kemahiran matematik, menyewa buku di Internet dan menganjur kursus memborong.
Apa yang menarik, kini mereka bergabung tenaga untuk membangunkan portal e-dagang Lot.my dengan matlamat membantu usahawan tempatan menceburi perniagaan di Internet.
Untuk mengetahui lebih lanjut, mari kita berkenalan dengan mereka seorang demi seorang.


Si genius matematik
Jika anda pernah mengikuti mengenai kejohanan Olympiad Matematik Antarabangsa (IMO) - kejohanan menguji kemampuan matematik para peserta yang belum memasuki kolej/universiti, anda tentu mengenali anak muda ini.
Mohd. Suhaimi Ramly, lulusan Ijazah Sains (Matematik) dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) merupakan ketua jurulatih bagi pasukan Olympiad Malaysia.
Beliau yang pernah menjadi juri termuda untuk menghakimi pertandingan IMO peringkat dunia merupakan antara pelajar terbaik pernah dilahirkan dari pertandingan itu.
Penyertaannya dalam pertandingan itu mendorongnya untuk membangunkan modul dan kaedah memahami sains dan matematik dengan cara lebih efisien melalui syarikatnya Ardent Educational Consultants Sdn. Bhd.
"Matematik bukanlah satu yang susah jika kena cara pembelajarannya," katanya mengulas mengenai masalah penguasaan pelajaran itu di kalangan pelajar bumiputera.


Pakar transaksi
Seorang lagi usahawan dimaksudkan ialah Luqman Zulhusni Ismael, pengasas Gerbang Emas Sdn. Bhd.
Graduan teknologi maklumat daripada Rensselaer Polytechnic Institute, New York ini mempunyai pengalaman dalam menyediakan sistem pembayaran elektronik untuk beberapa syarikat pelaburan dan teknologi.
Kepakarannya dalam bidang kewangan dan teknologi itu digunakan untuk membangunkan syarikat Gerbang Emas dan juga membangunkan sistem pembayaran di portal Lot.my.
"Sekarang memang ramai orang menjual melalui blog tetapi mereka tidak mempunyai sistem pembayaran yang baik.., dan Lot.my mampu mengatasi masalah itu," kata Luqman Zulhusni.

Pakar Borong
Bagi usahawan bumiputera yang pernah mengimport barangan dari China, nama Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman yang merupakan Pengarah Urusan, Anzac Consultancy tentu tidak asing lagi.
Anak muda ini telah menjadi pengasas dalam memperkenalkan kursus memborong barangan di China secara teratur, khususnya untuk kaum peniaga bumiputera.
Hasil pengalamannya digunakan untuk membantu usahawan bumiputera mengimport terus dari negara-negara seperti China, Thailand, Vietnam, India dan Korea Selatan.


Bagi bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar ini, golongan peniaga di negara ini telah lama bergantung kepada 'orang tengah.'
"Mereka perlu memberanikan diri mengunjungi negara asing untuk mengimport barangan secara terus," katanya yang kini giat menganjurkan kursus dan juga trip memborong ke China.
Pengalaman itu jugalah digunakan untuk menganjurkan kursus-kursus membuka laman web di Lot.my yang diadakan dengan kerjasama Mega, Utusan Malaysia.


Seperti juga sahabatnya, anak muda yang bijak dengan pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini adalah lulusan Rennselear Polytechnic Institute, New York dalam bidang Sains Komputer.
Mohd. Akmal Akhpah yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Projek untuk Lotdotmy Sdn. Bhd. ini mempunyai pengalaman luas ICT.
Beliau pernah bekerja sebagai Jurutera Perisian dengan beberapa syarikat multinasional seperti Shell dan Intel sebelum memberi tumpuan membangunkan aplikasi e-dagang.
Kepakarannya itu juga digunakan untuk membangunkan portal Lot.my.


"Pasaran ICT agak perlahan masa kini dan kebanyakan pengguna beralih kepada produk yang murah dan mudah digunakan," katanya.


Ia menjadi konsep pembangunan modul Lot.my yang mana dengan bayaran RM40 sebulan, peniaga boleh memasarkan kira 100 produk mereka ke seluruh dunia melalui Internet.


Khairul Anwar merupakan seorang lagi ahli lembaga pengarah Lot.my yang juga Pengarah Pemasaran, Aidan Technologies Sdn. Bhd.
Aidan Technologies merupakan syarikat pemasaran penyelesaian IT, terutamanya dalam e-dagang.
Graduan dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat itu mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan dan ekonomi.
Beliau berkemahiran membangunkan sistem inventori, pengurusan, multilevel, laman web, e-dagang, multimedia dan lain-lain.
Dengan pengetahuan ekonomi yang digabung dengan ICT, Khairul Anwar menggunakannya untuk pembangunan dan mengatur strategi pemasaran Lot.my.
Ramai daripada kita tidak berani mencuba sesuatu yang baru tetapi tidak kepada Nazatul Akhma.
Melakukan 'sesuatu di luar kotak,' mungkin itu yang dimaksudkan dengan perniagaan Nazatul Akhma apabila menceritakan mengenai perniagaan perkhidmatan menyewa buku melalui Internet yang ditawarkannya.
Graduan daripada Universiti Takushoku, Tokyo, Jepun itu menubuhkan Q' reazant Enterprise bagi menjalankan perniagaan tersebut bersama adiknya, Raja Ezatul Akhma.


Kesimpulannya, aspirasi dan iltizam keenam-enam anak muda ini dalam menjayakan survival mereka adalah suatu yang boleh dicontohi oleh generasi masa kini.
Tanpa mengharapkan disuap oleh kerajaan, mereka mencuba melakukan pelbagai kerja dan perniagaan menggunakan tenaga empat kerat dan sekelumit minda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan