KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA

KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA
Anda Berada Dalam Jajahan Takluk Kerajaan Pelangi Dibawah Pimpinan Laksamana Pelangi Dinaungi Enzo Kaneda-Pemerintah

Khamis, 25 November 2010

Bagaimana Nak Gandakan Wang ASB Anda?

Ramai yang mengeluh macam mana nak laburkan duit yang ada untuk jadi lebih banyak. Ya, ASB adalah jawapannya. Tetapi sedarkah anda, dengan duit yang sedia ada itu boleh menjadi lebih banyak beberapa tahun akan datang? Bagaimana? Hm...begini caranya…begini,
Pelaburan 20,000


Plan A:
buat pelaburan yg anda rasa anda mampu… contoh, buat pinjaman dengan loan maybank tu sebanyak 20k selama 10tahun…sebulan anda byr 210 dgn bank…ok kita tgk selepas 5 tahun jika anda langsung tidak keluarkan apa2 dividen yg anda dpt… Dgn anggaran 7% sethn, dijangka akaun anda akan menjadi rm28,051…so, maknanya dividen anda dah 8,051.
Saya cadangkan kepada anda supaya berhenti setakat itu dan buat permohonan dengan maybank utk stop. Maybank akan bayar separuh daripada 20k tu kerana anda hanya byr 5 tahun daripada 10thn. Maknanya anda dapat 10k…Jika dijumlahkan ketika itu, akaun anda kini telah menjadi (10k + 8,051 = RM18,051). Jika dikira, anda cuma byr sebyk (210 x 12 x 5thn = 12,600). Dan anda telah bebas dengan hutang ketika itu…bukankah ini lebih baik?

Plan B:
Jika anda berhasrat nak teruskan membyr sebyk 210 tu sehinga habis tempoh pinjaman (10 thn), saya cadangkan anda ikut plan A di atas. Selepas itu, anda buat pelaburan baru dengan jumlah yg sama iaitu 20k juga selama 10tahun. Ok, kita tgk berapa keuntungannya…akaun anda ketika itu sudah 18,051, dan campur dengan pelaburan baru 20k ianya menjadi 38,051. Angarkan dividen 7% sethn…kita lihat apa jadi 5 tahun selepas itu…
38,051, selepas 5 tahun akan menjadi 53,368. Apa akan jadi jika anda buat semula plan A di atas? Maksud saya, anda berhenti saja ketika itu. 53,368 – 38,051 = 15,317. Bermakna jumlah dividen dlm tempoh 5 thn itu adalah 15,317. kita asingkan duit pokok (18,051) yg asalnya ada dlm akaun anda supaya anda tidak keliru.


Baik, seperti mana di Plan A, di Plan B ini anda hanya byr 5 tahun drpd 10thn, bermakna anda hanya mendapat separuh drpd maybank iaitu 10k sahaja. Ok, kita jumlah semuanya sekarang…10k + 15,317 + 18,051 = 43,368. Berbeza dengan jika anda buat pelaburan 20k tu sampai la 10thn tanpa berhenti...kelebihan buat Plan A ni, anda ada cash dan boleh dikeluarkan anytime jika anda benar2 terdesak...dah faham bukan?
Ok...kita cuba dengan Pelaburan RM 50,000


Kali ini, buat pinjaman dengan loan maybank tu sebanyak 50k selama 20tahun…sebulan anda byr 315 dgn bank…ok, katakanlah dalam akaun anda dah ada 50k, bila dah buat loan 50k yang ni, so...dah jadi 100k la kan, bermakna dividen anda dikira berdasarkan simpanan 100k. Ok kita tgk selepas 10 tahun jika anda langsung tidak keluarkan apa2 dividen yg anda dpt… Dgn anggaran 7% sethn, dijangka akaun anda akan menjadi rm196,715…so, maknanya dividen anda dalam tempoh 10 tahun tu adalah 96,715....wah, banyak kan?


Saya cadangkan kepada anda supaya berhenti setakat itu dan buat permohonan dengan maybank utk stop. Maybank akan bayar separuh daripada 50k tu kerana anda hanya byr 10 tahun daripada 20thn. Maknanya anda dapat 25k…Jika dijumlahkan ketika itu, akaun anda kini telah menjadi (25k + 96,715 = 121,715). Dan akaun asal anda yang 50k tu jika dicampurkan dengan hasil pelaburan ini, menjadi 121,715 + 50k = 171,715. Jika dikira, anda cuma byr sebyk (315 x 12 x 10thn = 37,800). 121,715 - 37,800 = 83,915 (keuntungan anda). Dan anda telah bebas dengan hutang ketika itu…hehe
Cuma, ingat jika anda memang telah ada simpanan dalam akaun, anda boleh cuba menggunakan cara yang terakhir itu...Memang berbaloi baloi...

(Rujukan : http://sendukemas.blogspot.com )

Rabu, 24 November 2010

SKRIP LAMA YANG TELAH MENGHILANG

SETIAP kali saya berkemas untuk pulang berhari raya, saya selalu teringatkan sesuatu. Terkenang yang saya selalu bergurau dengan ipar-duai, mengatakan apabila tibanya hari raya, kita akan ulangi skrip yang saban tahun kita lakonkan (baca, lakukan). Masing-masing mengiyakan. Apabila tiba ke rumah ibu bapa kami sehari sebelum hari raya, masing-masing sudah tahu apa yang harus dilakukan.
Keluarga yang tiba dahulu, akan dapat tidur di bilik. Keluarga yang tiba lewat akan tahu, tempat beradu adalah di ruang tamu. Siapa menyapu sawang, siapa yang menyapu laman, siapa yang membentang permaidani atau siapa yang memasang langsir sudah masing-masing maklum. Tidak payah disuruh, kami akan bergotong-royong membantu dengan riangnya.
Bila malam menjelma, yang lelaki akan merebus ketupat, memasang pelita dan menemani anak masing-masing bermain bunga api. Akan riuhlah yang wanita kerana asap bunga api menjerebu masuk hingga ke dapur. Mereka yang sedang memasak rendang ayam dan menyediakan lodeh terutamanya emak, akan terbatuk-batuk.
Skrip pada pagi raya sememangnya sama. Selepas kumpulan lelaki pulang solat, masing-masing akan beratur untuk bersalaman dengan ibu dan ayah. Kemudian diikuti dengan bersalam-salaman dengan adik-beradik dan ipar-duai. Setelah itu, kami semua akan berkonvoi menuju ke rumah Pak Long, Pak Ngah, Pak Uda dan Pak Chu, mengikut turutan yang senior.
Pada hari raya kedua, kami akan menziarahi pusara. Kemudian kami akan berpisah untuk berhari raya ke rumah sahabat handai masing-masing. Lazimnya, menjelang jam 3.00 petang, masing-masing sudah pulang dan bergelimpangan tidur kerana keletihan di ruang tamu. Selepas Asar, giliran rumah kami pula dikunjungi oleh sanak saudara.
Kini, skrip yang dilakonkan berbelas tahun itu sudah berubah. Saya dan keluarga tidak semestinya pulang ke kampung untuk berhari raya. Kepulangan bapa mertua ke rahmatullah mengubah sama sekali skrip itu. Saya tidak lagi pulang ke Mersing, tetapi ke Johor Bahru kerana ibu mertua saya ada di rumah abang ipar saya. Malah, ada tahun di mana saya tidak pulang ke kampung kerana ibu mertua saya pula beraya di kota ini.
Kehidupan adalah rutin atau putaran. Ia berulang sama ada secara harian, mingguan atau tahunan. Bila direnung, kita akan dapati yang kita melakonkan begitu banyak skrip kehidupan yang berulang-ulang. Skrip harian di rumah, skrip mingguan di pejabat, skrip membeli-belah pada hujung minggu atau skrip pulang ke kampung adalah di antara skrip-skrip yang biasanya kita lakonkan bersama dengan mereka yang ada di sekeliling kita. Skrip itu akan berubah apabila salah seorang pelakon atau watak yang terdapat di dalam skrip itu sudah tiada lagi.

Apa perasaan kita bila ini terjadi? Sedih. Sedih kerana skrip yang diulang-ulang itu tidak boleh dipakai lagi. Ia sudah tidak berguna kerana kita tak boleh lakukan apa yang kita biasa lakukan bersamanya. Pendek kata, kita sedih kerana kita tak tahu bagaimana hendak lakukan rutin itu bila insan yang melengkapkan skrip kehidupan kita sudah tiada lagi.Ketahuilah, bahawa skrip harian kita samada di rumah, di pejabat, bersama jiran-jiran samada mengikut putaran harian, mingguan mahu pun tahunan itu, terdaya kita lakukan berulang-ulang kerana ia adalah nikmat. Namun, mana ada nikmat yang kekal? Justeru itu, bersedialah untuk mengenepikan skrip kehidupan yang ada apabila tiba masanya.
Dalam pada itu, kita perlu sedari bahawa kita sebenarnya adalah salah satu watak yang terdapat di dalam skrip kehidupan orang lain. Kerana itu, tanpa kita sedari, kita juga menyumbang kepada kegembiraan dan juga kesedihan orang mereka. Tanpa kita, skrip mereka pun tidak berguna.


“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui.”
(Rujukan : Tulisan http://maafcakap.blogspot.com)

Selasa, 23 November 2010

Emas sebagai alternatif pelaburan

MINGGU ini saya bercerita sedikit tentang emas sebagai pelaburan. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.
Pada tahun 1971, emas tidak lagi terikat dengan Dolar Amerika dan diperdagangkan secara bebas. Pada 6 Oktober 2009 baru-baru ini, harga emas di pasaran emas dunia melonjak sebanyak AS$24.60 kepada AS$1,041.80 seauns sehari.
Enam bulan dulu harga terendah emas ialah AS$868.70 dan setahun dulu harganya ialah AS$709.50 seauns. Dalam masa setahun harga emas naik sebanyak 46.8 peratus. Lima tahun dulu harga terendahnya ialah AS$412.10 iaitu kenaikan sebanyak 152.8 peratus.
Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan purata dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.
Tidak ramai yang sedar akan pulangan yang lumayan daripada pelaburan emas. Cara yang baik untuk melabur emas ialah dengan membeli syiling emas atau emas keping selain barang kemas.
Untuk makluman, suatu auns bersamaan dengan 31.10 gram. Bagaimana pun harga jualan emas di institusi kewangan berbeza-beza kerana harga emas bukannya sesuatu yang terkawal.
Banyak kos perkhidmatan seperti insurans diambil kira oleh institusi-institusi ini. Syiling dan emas keping ini boleh diperolehi di bank-bank seperti Maybank dan OUB.
Ada juga yang menggunakan buku pas seperti Public Bank tetapi pelanggan tidak menyimpan dan melihat emas sebenarnya hanya jumlah dan harga semasa pembelian dimasukkan ke dalam buku pas.
Kini ada pembelian dan penjualan boleh juga dilakukan dengan Koperasi Etika Emas yang mempunyai cawangan di seluruh negara.
Kenaikan harga emas tertakluk lazimnya atas tiga faktor utama. Pertama penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan susut.
Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lebih lemah.
Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini. Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.
Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi. Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi.
Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787 bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan inflasi.
Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.
Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.
Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam bentuk emas dan diterangkan secara lengkap di dalam www.gold.org/value. Orang ramai boleh melabur secara langsung dengan membeli emas bulion (jongkong), syiling emas, dinar emas, atau secara tidak langsung melalui gold futures, options, waran atau sijil pelaburan.
Salah satu cara paling popular dan cepat berkembang dalam sekuriti bursa di seluruh dunia yang dikenali dengan nama Gold ETF (Exchange Traded Fund).
Antara bursa saham dunia yang menawarkan Gold ETF ialah di Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Hong Kong, Jepun, Mexico, Afrika Selatan, Switzerland, Singapura, Turki dan United Kingdom. ETF ini dalam bentuk sekuriti dan disokong 100 peratus oleh emas secara fizikal.
Pelaburan secara ini berkembang dengan pesat sehingga 38 peratus daripada pelaburan yang dikenal pasti terdiri daripada sekuriti bentuk ini. Di sini belum ada lagi Gold Emas ini diperdagangkan di bursa kita.Melihat pergolakan yang berlaku sekarang terutama sekali tergugatnya kedudukan Dolar Amerika ekoran krisis ekonomi yang berpunca di Amerika, daripada mereka dan merebak ke seluruh dunia. Orang ramai sudah tentu mencari sesuatu bentuk pelaburan yang lebih selamat daripada pergolakan harga.






Elok melabur dalam bentuk emas

MINGGU lepas saya dijemput oleh TV3 menerangkan tentang emas sebagai pelaburan alternatif dalam program Bijak Wang. Minat dengan pelaburan emas memang sedang meningkat. Melalui program tersebut pun ada beberapa penonton yang menelefon bertanyakan beberapa perkara tentang emas.
Saya diminta menerangkan mengapa wajar melabur dengan emas. Emas sebenarnya ialah suatu komoditi yang tidak luntur ditelan zaman. Walau tertanam beribu-ribu tahun sekalipun, emas tetap berkilau.
Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika.
Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka.
Sekian lama mata wang dolar Amerika digunakan untuk segala-galanya daripada rizab negara kepada dagangan dunia.
Boleh dikatakan tidak ada urusan yang tidak lepas daripada dolar Amerika sehinggalah Kesatuan Eropah menghasilkan Euro yang menjadi pencabar kepada kedudukan dolar Amerika.
Apabila berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang berpunca di Amerika, dolar terus tertekan kedudukannya selaku mata wang utama. Tambahan pula negara seperti China yang banyak membeli Bil Perbendaharaan Amerika Syarikat merasa bimbang mengenai penurunan nilai dolar dan menyarankan penggunaan mata wang alternatif untuk perdagangan.
Pada waktu sama China juga mengajak negara-negara Asia Barat mengubah haluan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika.
Suasana begini dicampur dengan defisit kerajaan Amerika yang berjumlah trilion dolar menyebabkan ramai orang membeli emas selaku pelindung atau insuran.
Mereka yang mengambil langkah perlindungan ini bukan saja orang individu tetapi juga negara. Selasa minggu lepas, Bank Negara India telah membeli 200 tan emas dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia telah melonjakkan harga emas pada hari itu. Dikhabarkan IMF akan menjual sebanyak 200 tan lagi. Kenaikan permintaan ini menyebabkan harga emas terus meningkat.
Minggu lepas sehingga semalam (Jumaat) emas naik dari AS$1091 (RM3,815) seauns kepada AS$1106 (RM3,871).
Bagaimanapun mereka yang ingin membeli emas patut melihat pembeliannya untuk disimpan selama 365 hari. Bukan untuk dijual minggu depan atau bulan depan kerana dengan mengambil sikap demikian segala turun naik harga (volatiliti) dapat diatasi.
Misalnya sejak setahun lalu, harga emas naik sebanyak 52 peratus dari AS$734.90 (RM2,572) seauns kepada AS$1116.80 (RM3,908) seauns.Kalau emas tidak penting mengapa kerajaan India membeli 200 tan emas minggu lepas?
Kebimbangan akan kejatuhan nilai matawang dolar Amerika dan kemungkinan pemulihan mungkin akan mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan kerana pengangguran di AS hampir mencecah 10 peratus dan masalah yang membelenggu sektor perumahan belum dapat diatasi lagi.
Kerajaan China juga menasihatkan rakyatnya menyimpan 5 peratus daripada wang simpanan mereka dalam bentuk emas dan ini bakal menaikkan lagi harga emas.
Kita ingat semasa zaman ramai pelarian meninggalkan negara asal mereka seperti semasa perang Vietnam. Mereka yang lari daripada Kemboja membawa bersama emas dan apabila sampai di sini mereka menggunakan emas tersebut untuk memulakan perniagaan dan hidup baru.
Contohnya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Ramai orang Kemboja yang memiliki perniagaan seperti barang kemas dan perniagaan kain. Emas diterima di mana-mana tidak kira di negara mana sekalipun, emas tetap emas.
Seperti yang pernah dinyatakan dahulu, emas boleh dibeli secara buku pas dan secara syiling atau keping (wafer) dari bank-bank perdagangan. Selain itu, barang kemas juga suatu pelaburan dalam "bentuk emas" walaupun ketulenan emas pada barang kemas adalah rendah daripada emas keping iaitu 91.6 peratus bagi barang kemas dan 99.99 bagi syiling dan emas keping.
Bagi Bursa Malaysia pula, mungkin Dana Dagangan Bursa Emas (Gold Exchange Traded Fund) mungkin boleh difikirkan selaku salah suatu tawaran di bursa kita.
Dengan adanya ETF Emas ini dapatlah lebih ramai pelabur melabur dalam emas dengan modal yang lebih rendah.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Seterusnya :

Mari pula kita tengok statistik untuk lihat pergerakan Emas.
(Rujukan BNM Statistik: http://www.bnm.gov.my/)

Ada Apa Dengan Satu Ringgit..?

Apa ada dengan RM1 - seringgit?




Oleh Zaini Hassan


HENTIKAN dulu cakap politik dan kebarangkalian tindakan repot polis yang boleh memeningkan. Jom kita teliti not seringgit, atau RM1 kita.
Teliti betul-betul wang kertas itu. Saya pun sambil menaip turut mengeluarkan not itu dan membelek-beleknya.
Ia berwarna biru. Di bahagian belakang ada gambar gunung Kinabalu, landskap tertinggi negara ini dan di Asia Tenggara. Wau bulan serta gambaran kepulauan nelayan dari arah laut turut terpapar di atas kertas itu.
Sebelum ini tiada siapa yang benar-benar membeleknya. Apalah sangat RM1. Mungkin ia hanya dibelek oleh pelancong yang baru pertama kali melihat not itu. Peniaga pun tak bimbang jika itu not palsu. Tiada apa yang istimewanya.
Nak kata ia menarik, biasa saja. Berbanding dengan rekaan matawang asing lain, mungkin nilai seringgit kita itu tidaklah hebat mana.
Itu dari segi rupa bentuknya. Bagaimana pula dengan nilainya? Denominasi seringgit itu dibentuk daripada mata desimal 100 sen. Dari nilai siling sekecil 5 sen, 10 sen, 50 sen ia boleh dicampur-campur membentuk RM1.


Kini Bank Negara Malaysia (BNM), autoriti yang mengesah lakukan wang ringgit di negara ini tidak lagi mengeluarkan wang siling 1 sen. Mungkin BNM ada alasan berbuat demikian. Difahamkan untuk mengeluarkan siling 1 sen kosnya ialah sekitar 20 sen? Oleh itu ia dihentikan pengeluaran. Jadi nilai wang kita hanya bermula dari siling 5 sen.
Dari segi ilmu hisab, kita sudah rugi 4 sen. Tapi 5 sen pun sudah jarang digunakan oleh pekedai. Oleh itu kita sudah rugi 5 sen.
Pekedai lazimnya akan mula mengira mulai 10 sen. Maka kita pengguna sudah rugi 9 sen!
Sering dulu jika harga gula naik 10 sen sekilogram, maka mamak-mamak stall akan menaikkan harga minuman kegemaran orang Malaysia, teh tarik dengan harga 10 sen segelas. Maka harga segelas teh tarik sekarang ialah RM1.20 sen.
Mamak (harap jangan saman saya kerana guna istilah ini) enggan menggunakan 5 sen untuk menaikkan harga minuman itu. Mereka lebih gemar memilih 10 sen. Entah kenapa saya pun tak tau.
Budaya menggunakan 1 sen sudah hilang di negara ini. Sepatutnya nilai RM1 ialah 100 sen dan setiap sen patut diambil kira. Dulu jika kita beli kasut Bata, harga mengikut pecahan sen-sen amat popular, begitu juga di McD dan bayar bil elektrik dan air. Kini semuanya dibulatkan kepada 5 sen dan 10 sen.
Nilai 100 sen itu sudah mengecil. Dalam suasana inflasi yang semakin ketara sekarang, walaupun BNM hanya melaporkan angka yang rendah, nilai RM1 sudah hampir tiada. Harga teh tarik melebihi RM1. Masuk tandas awam kini ialah 50 sen, dua orang RM1. Belanja budak sekolah sekurang-kurangnya RM3.


Jika BNM mahu menjimatkan kos pengeluaran 1 sen, pengguna juga yang tertekan dengan kos barangan, turut rugi dari segi nilai sen-sen itu.
Mungkin, jika nilai 1 sen itu dibudayakan semula - seperti di Amerika Syarikat yang masih aktif menggunakan Penny (1 sen), Nickel (5 sen), Dime (10 sen), Quarter (25 sen), Half dollar (50 sen) - maka nilai RM1 kita akan lebih bernilai lagi.
Pada masa itu mamak mungkin akan memikirkan untuk menaikkan teh tarik hanya kepada RM1.21 sahaja berbanding RM1.30 sekarang.
Walaupun cadangan ini nampak bodoh dan mengarut kerana nilai 1 sen sudah dimansuhkan, kita berharap BNM boleh memikirkan sesuatu atau semula.
Rakyat kini sebenarnya mulai gelisah kerana nilai mata wang mereka semakin mengecil. Jika dulu orang kampung boleh berbelanja dapur dan petrol motosikal sekitar RM300 sebulan, kini nilainya sudah menjadi RM250 dan ke bawah dan ke bawah.
Ia lebih memeritkan bagi mereka yang tinggal di bandar dan kota raya. Gaji RM2,500 ialah miskin bandar. Tapi majikan masih kedekut dan amat berkira untuk menaikkan gaji. Gaji yang diperoleh tidak setaraf dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kelok gaji dan kelok kos barang dan perkhidmatan tidak seimbang.
Kita berharap pakar-pakar ekonomi negara dapat memikirkan sesuatu mengenainya. Jika ke Britain nilai 1 Pound itu masih cukup besar, tapi RM1 kita sudah terlalu kecil.
Bagi saya yang minum teh tarik bersama kawan malam tadi, nilai RM1 hanya untuk disedekahkan kepada orang buta yang silih berganti ke kedai-kedai makan sekitar ibu kota.
RM1 sudah mulai tidak dipedulikan. Tapi bagi orang buta yang mengutip RM1 bagi setiap meja - dan berjaya melakukannya ke atas beratus meja setiap malam - mereka itulah sebenarnya yang mewah.
Dan dalam keadaan ekonomi baik atau tidak seperti sekarang, jumlah orang buta (dan buat-buat buta) seperti itu semakin hari semakin ramai...


Kesimpulan :Nilai makin mengecil dan berapa agak-agaknya yang dapat anda beli bila ke pasar malam petang nanti dan bandingkan dengan masa 10 tahun dulu?

Isnin, 22 November 2010

Shortcut Buat Assignment...

Laman web tawar upah buat tugasan, kerja rumah AS$2

SYDNEY - Pelajar-pelajar sekolah tinggi dan universiti di Australia menghantar kerja rumah dan tugasan untuk disiapkan ke India, Pakistan dan Mesir menerusi laman web di Internet dengan upah serendah AS$2 (RM6.21), lapor sebuah akhbar semalam.
Laman web itu menawarkan perkhidmatan untuk menyiapkan esei dalam bahasa Inggeris dan tugasan matematik.


Antara laman web itu ialah canadian essay.com, realassignment writing.com dan dissertation india.com mengiklankan harga dan tugasan yang ditawarkan.
Kebanyakan tugasan itu disiapkan oleh siswazah dari India dan Pakistan.
Pihak pengurusan sekolah gagal untuk menghalang pelajar yang menipu dengan menggunakan kemudahan itu kerana ia pada kebiasaannya gagal untuk dikesan dengan perisian plagiat.
Seorang pengasas sebuah laman web yang menempatkan tawaran perniagaan secara kecil-kecilan, Mat Barrie berkata, kerja rumah dan tugasan kerap di hantar ke lamannya, www.freelancer.com.
"Kami memperolehnya (tawaran itu) pada setiap masa," katanya.
"Sebagai pensyarah, saya tidak menyukainya tetapi sebagai pelajar, mereka cuba berusaha mencari jalan untuk menipu," tambahnya.
Menurutnya, terdapat pelajar di India yang memberikan jawapan dengan bayaran cuma beberapa dolar.
Pensyarah itu berkata, beliau pernah melihat soalan matematik dijawab dengan upah hanya AS$2 sahaja.
Akhbar Sunday Telegraph berjaya menghubungi seorang pekerja yang menawarkan perkhidmatan itu, Mohammed Ali Khan, 23, dari Islamabad, Pakistan yang merupakan seorang siswazah.
"Ia merupakan kerja sambilan saya. Saya memperoleh tugasan itu dari seluruh dunia termasuk dari Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK)," katanya.


Ketika ditanya berapa jumlah yang akan dikenakan untuk 1,000 perkataan bagi esei bahasa Inggeris Tahun 12, Mohammed memberi jawapan sebanyak AS$10 (RM31.09).
Menurutnya, beliau mendapat banyak tugas daripada pelajar-pelajar Australia.
Pihak pengurusan akademik berasa bimbang dengan gaya baru penipuan itu.
"Kami mengambil perhatian ini dengan amat serius, tetapi sedihnya, ia bukannya satu kejutan," kata Penolong Dekan University of Western Sydney, Craig Ellis.
Menurutnya, trend terbaru itu mencetuskan kebimbangan kerana ia sukar untuk dikesan disebabkan harga upah yang dikenakan terlalu kecil. -

Kesimpulan: Jika mahu pencarian ilmu kena bersusah payah, jika hanya mahu kertas sekeping tertulis Ijazah/Diploma silakanlah.Tepuk dada tanya selera.

Informasi Kepada Perniagaan Online

Tekad usahawan baru generasi dot.my
Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN (UTUSAN -23/11/10)


SIAPA kata anak Melayu tidak mampu merentas sempadan dan berdiri di atas kaki sendiri untuk meniaga?
Bagi enam anak muda, walaupun baru berusia 27 tahun tetapi mereka telah bergelar usahawan berjaya dengan masing-masing mempunyai perniagaan berpotensi.
Bermula dari pertemuan di Pusat Pendidikan Antarabangsa (dahulunya Pusat Pendidikan Persediaan) di Shah Alam, mereka menjadikan persahabatan sebagai landasan untuk terus maju ke hadapan.
Bagi mereka, makan gaji mungkin jalan penyelesaian terakhir dalam mencari nafkah hidup kerana bagi mereka berniaga adalah jalannya.
Ada yang berniaga perkhidmatan berkaitan komputer, kemahiran matematik, menyewa buku di Internet dan menganjur kursus memborong.
Apa yang menarik, kini mereka bergabung tenaga untuk membangunkan portal e-dagang Lot.my dengan matlamat membantu usahawan tempatan menceburi perniagaan di Internet.
Untuk mengetahui lebih lanjut, mari kita berkenalan dengan mereka seorang demi seorang.


Si genius matematik
Jika anda pernah mengikuti mengenai kejohanan Olympiad Matematik Antarabangsa (IMO) - kejohanan menguji kemampuan matematik para peserta yang belum memasuki kolej/universiti, anda tentu mengenali anak muda ini.
Mohd. Suhaimi Ramly, lulusan Ijazah Sains (Matematik) dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) merupakan ketua jurulatih bagi pasukan Olympiad Malaysia.
Beliau yang pernah menjadi juri termuda untuk menghakimi pertandingan IMO peringkat dunia merupakan antara pelajar terbaik pernah dilahirkan dari pertandingan itu.
Penyertaannya dalam pertandingan itu mendorongnya untuk membangunkan modul dan kaedah memahami sains dan matematik dengan cara lebih efisien melalui syarikatnya Ardent Educational Consultants Sdn. Bhd.
"Matematik bukanlah satu yang susah jika kena cara pembelajarannya," katanya mengulas mengenai masalah penguasaan pelajaran itu di kalangan pelajar bumiputera.


Pakar transaksi
Seorang lagi usahawan dimaksudkan ialah Luqman Zulhusni Ismael, pengasas Gerbang Emas Sdn. Bhd.
Graduan teknologi maklumat daripada Rensselaer Polytechnic Institute, New York ini mempunyai pengalaman dalam menyediakan sistem pembayaran elektronik untuk beberapa syarikat pelaburan dan teknologi.
Kepakarannya dalam bidang kewangan dan teknologi itu digunakan untuk membangunkan syarikat Gerbang Emas dan juga membangunkan sistem pembayaran di portal Lot.my.
"Sekarang memang ramai orang menjual melalui blog tetapi mereka tidak mempunyai sistem pembayaran yang baik.., dan Lot.my mampu mengatasi masalah itu," kata Luqman Zulhusni.

Pakar Borong
Bagi usahawan bumiputera yang pernah mengimport barangan dari China, nama Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman yang merupakan Pengarah Urusan, Anzac Consultancy tentu tidak asing lagi.
Anak muda ini telah menjadi pengasas dalam memperkenalkan kursus memborong barangan di China secara teratur, khususnya untuk kaum peniaga bumiputera.
Hasil pengalamannya digunakan untuk membantu usahawan bumiputera mengimport terus dari negara-negara seperti China, Thailand, Vietnam, India dan Korea Selatan.


Bagi bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar ini, golongan peniaga di negara ini telah lama bergantung kepada 'orang tengah.'
"Mereka perlu memberanikan diri mengunjungi negara asing untuk mengimport barangan secara terus," katanya yang kini giat menganjurkan kursus dan juga trip memborong ke China.
Pengalaman itu jugalah digunakan untuk menganjurkan kursus-kursus membuka laman web di Lot.my yang diadakan dengan kerjasama Mega, Utusan Malaysia.


Seperti juga sahabatnya, anak muda yang bijak dengan pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini adalah lulusan Rennselear Polytechnic Institute, New York dalam bidang Sains Komputer.
Mohd. Akmal Akhpah yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Projek untuk Lotdotmy Sdn. Bhd. ini mempunyai pengalaman luas ICT.
Beliau pernah bekerja sebagai Jurutera Perisian dengan beberapa syarikat multinasional seperti Shell dan Intel sebelum memberi tumpuan membangunkan aplikasi e-dagang.
Kepakarannya itu juga digunakan untuk membangunkan portal Lot.my.


"Pasaran ICT agak perlahan masa kini dan kebanyakan pengguna beralih kepada produk yang murah dan mudah digunakan," katanya.


Ia menjadi konsep pembangunan modul Lot.my yang mana dengan bayaran RM40 sebulan, peniaga boleh memasarkan kira 100 produk mereka ke seluruh dunia melalui Internet.


Khairul Anwar merupakan seorang lagi ahli lembaga pengarah Lot.my yang juga Pengarah Pemasaran, Aidan Technologies Sdn. Bhd.
Aidan Technologies merupakan syarikat pemasaran penyelesaian IT, terutamanya dalam e-dagang.
Graduan dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat itu mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan dan ekonomi.
Beliau berkemahiran membangunkan sistem inventori, pengurusan, multilevel, laman web, e-dagang, multimedia dan lain-lain.
Dengan pengetahuan ekonomi yang digabung dengan ICT, Khairul Anwar menggunakannya untuk pembangunan dan mengatur strategi pemasaran Lot.my.
Ramai daripada kita tidak berani mencuba sesuatu yang baru tetapi tidak kepada Nazatul Akhma.
Melakukan 'sesuatu di luar kotak,' mungkin itu yang dimaksudkan dengan perniagaan Nazatul Akhma apabila menceritakan mengenai perniagaan perkhidmatan menyewa buku melalui Internet yang ditawarkannya.
Graduan daripada Universiti Takushoku, Tokyo, Jepun itu menubuhkan Q' reazant Enterprise bagi menjalankan perniagaan tersebut bersama adiknya, Raja Ezatul Akhma.


Kesimpulannya, aspirasi dan iltizam keenam-enam anak muda ini dalam menjayakan survival mereka adalah suatu yang boleh dicontohi oleh generasi masa kini.
Tanpa mengharapkan disuap oleh kerajaan, mereka mencuba melakukan pelbagai kerja dan perniagaan menggunakan tenaga empat kerat dan sekelumit minda.

Khamis, 4 November 2010

Tolonglah Hantu Tidak Bersalah...!!

Hantu..? Dengar sahaja mungkin menakutkan kita. Imaginasi biasa membayangkan kengerian. Tiada hantu cun atau kacak?
Hantu..Hantu..kesian sekarang semua hantu menjadi penganggur kerana manusia berebut menjadi hantu.. semua pengusaha filem berebut membikin cerita hantu begitu juga TV. Setiap malam Jumaat penuh dengan cerita hantu..wajib TV3 sudah semestinya menyuap dengan cerita-cerita begini setiap malam Jumaat seolah-olah itulah hari hantu keluar bermaharajalela dan bukannya PENGHULU kepada segala hari . Hari kemuliaan dan keberkatan. Di sini disiarakan betapa dangkalnya kita ..hantuphobia yang menguasai setiap urat sendi fikiran kita. Hantu telah berkeliaran di Malaysia dalam fikiran kita...Makhluk halus & jin memang diyakini wujud kerana tertulis dalam Al Quran tapi ia hanyalah untuk menyesatkan manusia dan melalaikan
Dua soalan saya
1.)Adakah anda pernah berjumpa hantu..? .
2.) Berapa ramai manusia di Malaysia atau di kawasan kejiranan anda telah dibunuh, dihisap darahnya oleh hantu..rasanya akibat kemalangan jumlahnya tinggi ?


Drama separuh seram Siti Balqis



Oleh - Abd Jalil Ali (SINAR HARIAN)
Ada ketikanya oleh sebab terlalu percaya pada benda-benda ghaib, kita hilang semua kewarasan sehingga tidak boleh berfikir secara logik walaupun untuk perkara-perkara yang amat mudah. Betullah kata orang tua dulu-dulu: Bagi yang penakut, tunggul pun disangka hantu!
Kisah pelik Siti Balqis Mohd Nor adalah contoh paling klasik. Untuk tempoh kira-kira sebulan, masalah gadis berusia 22 tahun dari Kampung Gong Nangka, Apal, di Besut, Terengganu ini, telah membuat ramai orang bingung, mungkin ada yang separuh sewel.


Paling tertekan ialah ibunya, Norizan Said, 47, yang tidak dapat tidur lena, tidak lalu makan-minum, dan setiap saat dalam kebimbangan. Turut prihatin ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Agama dan Penerangan negeri Terengganu, Khazan Che Mat, ADUN Jabi, Ramlan Ali, dan Pengarah Yayasan Islam, Md Kamaru Al-Amin Ismail.


Tiga orang ustaz juga bertungkus-lumus membaca surah Yasin dan melakukan solat hajat selama beberapa hari untuk membantu. Tidak ketinggalan ialah 17 bomoh handalan yang siap sedia memberi khidmat rawatan tradisional tanpa meminta sebarang bayaran 


Tentu sekali turut kebingungan dan berdebar ialah berjuta-juta orang seluruh negara yang setiap hari mengikuti perkembangan menerusi akhbar dan TV. Sebuah stesen TV popular menyiarkan program khas untuk gadis misteri ini. Pendek kata kampung terpencil di Besut yang tidak pernah dikenali, tiba-tiba menjadi tumpuan berita setiap hari.



Semuanya kerana misteri Balqis. Gadis itu mendakwa telah dilarikan oleh jin. Konon sudah lebih 100 kali dia dibawa mengembara oleh jin ke beberapa lokasi, termasuk di tanah perkuburan dan di puncak bukit. Dia memberitahu ibunya, dalam pengembaraan itu dia telah menyaksikan berbagai makhluk aneh seperti manusia berkepala anjing, dan gorila.


Ketika hilang dia menghubungi ibunya menerusi SMS, memberitahu lokasi dia dibawa jin. Menerusi SMS juga dia menyatakan ketakutan melihat benda-benda pelik, dan menegaskan “tidak mahu mati.” Setelah menghantar SMS gadis yang dalam keletihan itu ditemui di kawasan berhampiran rumah termasuk di kebun juga di atas pokok.


Sekiranya ada sedikit kewarasan, apa yang diceritakan oleh Balqis sebenarnya bukan luar biasa. Dalam zaman sekarang gadis hilang atau lari dari rumah adalah biasa. Perkara ini terjadi setiap hari di mana sahaja. Ada yang lari mengikut kawan untuk beberapa hari. Malah, ada yang lari mengikut kekasih hingga ke Lombok. Jadi, apa peliknya Balqis hilang dari rumah untuk beberapa jam? Dia boleh keluar pada bila-bila masa!


Juga, apa luar biasanya SMS yang mengatakan dia berada di atas bukit? Usahkan di atas bukit atau di kawasan kubur, kalau dia mahu dia boleh memberitahu sedang berada di tengah laut, atau di dalam gua. Malah, dia boleh menulis SMS: “Saya kini bersama jin sedang berada di puncak Gunung Merapi sambil melihat gunung itu meletup...saya amat takut!”


Kalau ada sedikit kewarasan, kita sepatutnya bertanya, bagaimana dalam keadaan dikawal ketat oleh jin dia boleh menghantar SMS kepada ibu? Apakah jin berkenaan tidak mengetahui kecanggihan ICT? Tetapi, soalan seperti itu tidak pernah wujud dalam fikiran, sebab semua orang terlalu yakin gadis remaja itu betul-betul dilarikan jin.



 
Malah, dalam kekalutan itu ada pula dua orang bomoh yang merawat Balqis, dan berjaya menangkap tujuh jin. Jin-jin tersebut dimasukkan ke dalam botol. Orang ramai boleh melihat botol-botol tersebut – semua nampak botol, tetapi tidak nampak jin! Walaupun tidak nampak jin, semua orang semakin kuat mempercayai Balqis dikuasai jin.

Kemudian timbullah kejadian-kejadian yang dikatakan aneh seperti 13 butir batu permata yang tiba-tiba jatuh ke dalam rumah, kononnya dilemparkan oleh jin sebagai amaran. Tidak adakah yang bertanya di mana pula jin membeli batu-batu permata pelbagai warna itu? Dan, apa perlunya dia memberi amaran menerusi batu-batu permata itu?


Kemuncak dari episod separuh seram ini ialah apabila Balqis menghantar SMS kepada ibunya memberitahu dia berada di puncak Gunung Jerai di Kedah. Sebelum kehilangan itu ada yang melihat gadis tersebut di dalam sebuah kereta Kancil. Itu semakin menguatkan keyakinan bahawa dia dilarikan jin. Kalau ada kewarasan, tentu kita bertanya jika jin boleh membawa Balqis ke mana sahaja dalam sekelip mata, mengapa dia perlu naik kereta untuk ke Gunung Jerai?
Akhirnya terbukti semua yang dikatakan pelik itu hanyalah cerita rekaan. Gadis tersebut ditemui tanpa menggunakan kaedah tradisional atau bomoh, tidak juga dengan jampi serapah, sebaliknya menggunakan siasatan polis. Dia dikesan bukan di Gunung Jerai tetapi di rumah kenalannya di Kampung Ulu Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Bukan sebab jin atau makhluk halus, tetapi dia lari dari rumah atas kehendak sendiri. Ertinya jin atau makhluk halus tidak bersalah, dan tidak terlibat dalam kes ini.


Kalaulah ini adegan dalam filem, Siti Balqis memang boleh dicalonkan untuk anugerah ‘Pelakon Wanita Terbaik’ pada Pesta Filem Malaysia. Tetapi lakonannya terjadi di luar filem, dan kelihatan amat realistik, sehingga sempat memperdaya banyak orang termasuk wakil rakyat, pegawai agama, ustaz dan bomoh. Maka kita sekarang patut bertanya, perlukah kita melepaskan tujuh jin yang dikurung dalam botol itu? Arggh....