KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA

KEBEBASAN BERFIKIR-ENZO KANEDA
Anda Berada Dalam Jajahan Takluk Kerajaan Pelangi Dibawah Pimpinan Laksamana Pelangi Dinaungi Enzo Kaneda-Pemerintah

Khamis, 24 Februari 2011

Kesan kenaikan harga barang..?

APABILA harga minyak petrol naik, purata pengguna akan turut merasai kesan teori domino ke atas harga barang keperluan harian dan perkhidmatan. Sejak kebelakangan ini, kenaikan harga barang keperluan termasuk petrol seolah-olah menjadi perkara biasa namun, ia membebankan kepada golongan berpendapatan rendah.



Pemilik kenderaan yang membayar RM1.85/liter untuk RON95 dan RM2.10/liter bagi RON97 pada Julai lalu kini membayar masing-masing RM1.90 dan RM2.50. Ramai pemilik kenderaan tidak begitu gemar petrol RON95 yang diberi subsidi tinggi, berikutan ia menjejaskan prestasi kenderaan sedangkan penggunaan RON97 meningkatkan perbelanjaan bulanan.


Harga bawang kecil dari India yang dijual pada harga RM4 sekilogram (kg) bulan lalu kini dijual pada harga RM14 di beberapa buah tempat. Pada masa yang sama, harga sayur, ayam, ikan dan hampir semua barang keperluan juga naik.


Dengan kadar kenaikan yang begitu kerap ada yang berputus asa dan berharap harga akan stabil. Pada masa kini, para pengguna hanya membayar sahaja tanpa banyak soal kepada peniaga atau penyedia perkhidmatan kerana beranggapan harga mungkin akan naik lagi pada hari berikut.
Ada juga yang melalui pengalaman harian berlainan kerana harga barang yang diperlukan seolah-olah tiada beza sejak setahun lalu.
"Saya sering makan di kedai yang boleh tahan cantik dan bersih tetapi tak sedar pula kalau harga makanannya lebih mahal ataupun tidak? Nasi putih dengan ikan goreng, sayur campur dua macam dengan air lobak merah, lebih kurang RM7. Pada saya, harganya berpatutan," kata pesara kerajaan Abbas Hasan, yang kini pendidik secara kontrak di Nilai, Negeri Sembilan.
Mungkin harga itu dirasakan berpatutan di Nilai berdasarkan jumlah pengunjung yang ramai.
Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) beranggapan harga barang tidak pernah turun.
"Semuanya semakin mahal. Cuma kita perlu pilih dengan berhati-hati dan pastikan pembelian tidak melampaui bajet," kata Mildred dari Sabah.






 
Rungutan pengguna

Seorang pengusaha gerai makanan, Siti Gayah Muhammad menjelaskan, dia menetapkan harga makanan yang dijual. "Kita tengok harga bahan mentah untuk lauk itu. Harga bawang kecil dan besar, putih dan merah, sudah naik berlipat kali ganda, stok pun payah ditemui.


"Harga sebiji bawang besar belanda bersaiz sederhana ialah 40 sen. Saya beli juga sebab bawang besar dari India cepat rosak. Akibatnya, sama ada masakan perlu dikurangkan penggunaan bawang atau harga dinaikkan dengan membeli bawang mahal," kata Siti sambil mengacau masak lemak cili apinya.
Walaupun pembeli merungut, dia tiada pilihan untuk memastikan masakan tetap sedap dan penjual tidak rugi.
Selain kos perjalanan dan makanan yang semakin mahal, tanpa disedari harga kediaman juga semakin tinggi.


Beberapa syarikat pembinaan menyatakan, projek yang menjadi tumpuan syarikat lebih cenderung ke arah rumah mewah seperti rumah dua tingkat, berkembar dua dan banglo.
Sebuah rumah teres dua tingkat yang sederhana kini boleh mencecah harga sehingga RM1 juta di Lembah Klang manakala banglo pula berharga tiga hingga empat kali ganda jumlah itu.
"Tumpuan syarikat kami ialah rumah yang lebih luas dan selesa. Kualiti pembinaan sememangnya yang paling utama. Bahan yang digunakan juga mempunyai gred yang lebih tinggi. Inilah sebabnya mengapa harga rumah di Selangor lebih tinggi. Bak kata pepatah, alah membeli menang memakai!" jawab seorang pekerja syarikat perumahan ketika ditanya mengenai harga rumah yang 30 peratus siap di kawasan projek terbarunya di Shah Alam.
 
Adakah pembeli mampu membayar ansuran bulanan kalau hanya bekerja makan gaji memandangkan nilai pinjamannya sangat tinggi?



"Orang yang tinggal di bandar, yang berkereta ke pejabat, perlu berbelanja makan tengah hari pada hari bekerja, bayar tempat letak kereta bulanan, ada sewa rumah dan punya keluarga beranak dua pasti sukar untuk menyimpan RM500 sebulan," kata Datuk Dr. Ma'amor Osman, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) apabila diminta memberi komen tentang peningkatan harga barang dan perbelanjaan harian rakyat Malaysia pada masa kini.
Kalau ada pembantu rumah sudah pasti lebih besar perbelanjaannya. Dengan pendapatan bersama, kelamin beranak dua, berumur dalam lingkungan 30 tahun, yang berjumlah antara RM7,000 dan RM8,000, jika ingin tinggal di pinggir bandar pun pasti tidak selesa hidup jika rumah semahal itu menjadi pilihan untuk ditanggung liabiliti membayar pinjaman sehingga 35 tahun lamanya.
Bayaran bulanan kepada bank swasta, jika pinjaman sebesar RM1 juta itu diambil hari ini, akan ditolak lebih RM5,000 daripada pendapatan bersih mereka, katanya.
Ma'amor berkata, harga barang yang mahal menggalakkan penggunaan kad kredit dan amalan yang sepatutnya dikikis.
"Pastikan bajet tetap sama. Jangan berikan peniaga mesej yang salah. Mereka yang berpendapatan tetap tidak dapat mencari jalan keluar sekiranya harga barang terus naik.
"Misalnya bawang yang menjadi bahan utama dalam hampir semua masakan tempatan naik mendadak baru-baru ini akibat kesan cuaca. Ini menjadi satu bebanan baru. Mereka yang berniaga tak berapa merasai tambahan beban ini kerana jika harga barang naik, peniaga turut menaikkan harga jualan mereka," kata Ma'amor.

Cuaca tidak menentu
Beliau melihat kos perkhidmatan pengangkutan awam yang meningkat adalah sesuatu yang perlu dikawal dan dipantau supaya rakyat tidak terus terbeban.
Tambahan pula kenaikan gaji tahunan juga tidak tetap dan lazimnya ia tidak melebihi lima peratus.
Harga tiket bas ekspres ke negara jiran Singapura meningkat kepada RM95 sehala berbanding RM75 pada tahun 2010. Harga tersebut hanya kurang RM4 berbanding harga tiket promosi kapal terbang ke republik itu. Alasan kenaikan harga ialah kerana musim cuti sekolah.
Harga barang yang semakin tinggi tidak boleh disalahkan kepada peniaga dan pembekal semata-mata, kata wakil Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
"Bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan cuaca kemarau yang melampau, yang melanda dunia, antara sebab kekurangan bekalan barang keperluan seharian. Lagipun kebanyakan sumber makanan negara ini diimport termasuk gula, tepung dan beras.
"Apabila permintaan melebihi bekalan, pasti harganya meningkat kerana bekalan yang terhad ini," kata Mohd. Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan FOMCA.
Apapun, pengguna perlu membuat pilihan dengan berhati-hati ketika harga tidak stabil.


 "Barang keperluan biasanya akan stabil pada harga baru dan sekiranya bekalan pulih seperti sediakala, penurunan harga tidak berlaku secara mendadak berbanding ketika ia dinaikkan. Kadang-kadang ia tak berlaku langsung. Carilah alternatif kalau boleh," pesan Mohd. Yusof.

Pengguna yang bijak membuat pilihan dan sanggup bersuara pasti dapat mengubah keadaan masa kini kepada tahap yang lebih baik. - Bernama

Kad undangan kahwin dan budaya

Ini ialah kisah kad undangan ke majlis perkahwinan. Saya tidak dapat memastikan sejauh manakah kisah kad ini penting bagi pembaca. Mungkin ada menganggap kisah ini tidak penting, jika demikian ketepikan saja.



Ketika singgah di rumah sahabat saya (Karim) di Lumut; dia, isteri, anak dan menantunya sedang bercakap-cakap tentang kad undangan perkahwinan. Mereka menerima kad undangan, tetapi tidak bertulis nama orang yang diundang. Oleh sebab hubungan kami akrab, ketika tiba mereka tidak mengubah tema percakapan. Saya bukan saja mendengar, malah menonton aksi mereka. Saya pun teringat akan pengalaman sendiri.


Dalam kes Karim dan keluarganya, pihak mengundang memesan kad undangan yang cantik dan memberikan kad itu kepada sesiapa yang diingatinya, tempat nama itu dibiarkan begitu. Tuan rumah itu sedikit pun tidak terfikir bahawa yang penting bukannya kad cantik, tetapi nama pihak yang akan diundang.


Saya minta kad itu. Inilah bunyi tulisan bercetak: Zaifran Zainol dan Miazara Muluk mempersilakan ________ ... seisi keluarga ke majlis perkahwinan anak kami pada hari Sabtu 19 Mac 2011. (Ditulis alamat dan juga atur cara majlis.) Tempat kosong itu tidak diisi, bawa makna, pihak yang mengundang itu tidak jemput sesiapa pun. Dia hanya memberi kad yang cantik itu untuk dibaca, dan mungkin elok dimasukkan ke dalam album atau frame. Tidaklah dapat saya putuskan, apa makna perlambangan ini.
Saya tidak tahu, adakah pembaca akhbar ini berpengalaman menerima kad undangan tanpa nama. Saya sendiri pernah, tetapi apabila sahabat bercakap panjang tentang perasaannya, barulah saya teringat perasaan sendiri ketika menerima kad bogel begitu tiga tahun lalu. Saya berasa malu menerimanya, dan keputusan; tidak pergi! Habis cerita.


Karim bercakap panjang lebar tentang kad tersebut, bererti dia tersinggung. Katanya, orang sekarang sudah tidak ambil berat soal corak hubungan antara satu dengan lain. Pemberi kad itu ialah anak saudaranya. Bukankah elok panggilan Pak Lang Karim Maaruf ditulis di tempat berkenaan. Semua bapa saudara akan berasa besar hati, bangga dan gembira apabila nama (berserta panggilan kekeluargaan) ditulis di situ. Jika kad tanpa nama, “…hendak dibaca kali kedua terasa sebak dada,” kata Karim.


Walaupun kad jemputan adalah tradisi moden, penerimaannya meluas sekali dalam masyarakat kita. Bagi sesetengah orang, kecantikan kad itu diutamakan, sehingga mereka tidak sanggup menulis nama Makcik Besah, Maklong Hasnah, Paksu Kamal, Pakcik Razak dan lain-lain. Namun kita dapat mengagak, jika kad itu hendak dihantar kepada seseorang yang ada gelaran (Datuk atau Tan Sri), nama dan gelaran itu ditulis dengan baik. Paklang, Pakcik, Makngah dan lain-lain adalah orang biasa, buat apa dituliskan? Itulah fikiran moden yang sesat.


Teringat pula kad undangan diterima kakak sepupu saya, Kak Latifah. Ini cukup memilukan - kad daripada anak sendiri, dan tempat nama itu diisi perkataan ‘Mak Pah’. Sampai hati anaknya menuliskan ‘Mak Pah’, panggilan yang menunjukkan jauh hubungannya dengan ibu sendiri. Kak Latifah hanya tersenyum pahit.


Orang paling sedih dalam keseluruhan cerita di atas tentulah Kak Latifah. Namun, dia tidak memanjang-manjangkan cerita, dia menerima saja kejadian itu. Di sebalik yang berlaku bukannya penderhakaan, cuma kejahilan akal dan kemalapan emosi. Kak Latifah mungkin sudah melupakan hal itu, kerana anaknya baik. Anak yang baik akan lebih baik jika mengenal budaya sedalam-dalamnya.


Kesimpulannya, jika kita menempah kad undangan perkahwinan, hendaklah bersedia untuk duduk berjam-jam menulis nama dan panggilan hormat kepada setiap yang diundang. Sia-sialah kad diberikan jika penerima berasa tawar, apatah lagi tersinggung, malah sedih.


oleh RAHMAN SHAARI



2/20/2011 2:57:25 AM

Di Mana Kaum Lelaki ?

Penulis baru habis berkursus selama 3 hari di selatan tanah air. Daripada 20 peserta yang mendaftar kursus, hanya 4 sahaja kaum lelaki! Ke mana yang lain..?



Satu soalan berpusing-pusing dalam kepala.


Begitu juga ketika di alam kampus, dominasi kaum hawa menguasai setiap penjuru. Begitu juga di tempat kerja, hierarki dan posisi penting dikuasai kaum hawa.


Arggh...kenapa dan mengapa..?


Adakah kaum lelaki makin pupus,mengalami proses menghaibkan diri. tetapi ke mana? Mengikut statistik yang lama, nisbah imbangan di malaysia ialah 1:4, tetapi kini entahlah.


Adakah berada dalam penjara, pusat serenti atau dalam tahanan ISA.


Adakah berminat dengan kerja-kerja luaran dan kemahiran.


Adakah menjadi penganggur terhormat atau bersiar-siar setiap hari dengan motorsikal tanpa tujuan.


Penulis belum jumpa jawapan bagi kekaburan tentang masalah kepupusan ini. di mana-mana soalan ini tetapi akan berulang dan mengelirukan lagi keadaan.


Sila lapor diri wahai lelaki..ke mari kamu.. kamu diperlukan..sebagai benteng Negara.

Ada Apa Dengan Hujan..?

Hujan..Ada apa dengan Hujan..?



Hujan adalah detik apabila air yang memboyot di perut awan hitam turun basahi bumi. Ada orang menganggapnya sebagai rahmat Tuhan apabila bumi yang kering kontang dibasahi oleh hujan, ada orang menganggapnya sebagai petaka apabila air mulai naik dan menenggelamkan permukaan bumi, menyusahkan aktiviti kehidupan mereka. Tapi kita kena beringat hujan merupakan daripadaNya dan tentu ada sebab munasabahnya sesuatu itu terjadi.

 
Malaysia terletak di kawasan garisan khatulistiwa, bermakna cuaca panas & lembap setiasa bertukarganti dan ia adalah suatu ketentuan yang Illahi dan kurniaanNya. Jika bertukar menjadi musim salji maknanya sesuatu diluar jangkaan yang berlaku.



Bagi pengguna Astro, hujan bermakna duit mereka laburkan untuk menonton siaran berbayar akan menjadi sia-sia kerana pada waktu atau tempoh ini saluran atau siaran akan tergendala.


Hujan juga bagi yang kreatif mengubahnya menjadi puitis dengan terhasilnya lagu yang begitu indah.Hujan ditafsirkan dalam bentuk subjektif . Ada letakkan Hujan sebagai nama kumpulan nyanyian.

 
Teringat ketika waktu tempoh membesar di Kelantan, hujan merupakan tempoh yang paling disukai kerana tempoh ini cuaca amat sejuk dan begitu mendamaikan. Biasa bermula dalam penghujung tahun. Hujan juga membuatkan diri berangan-angan,terasa diri berada di England kerana setiap hari menggunakan baju sejuk yang tebal setiap masa, keluar kabus ikut mulut.Tapi kesulitannya ialah baju yang dijemur akan lambat kering kerana tiada matahari. Jadi terpaksalah pakai baju sama dalam jangkamasa yang lama.



 Hujan juga membuatkan keadaan sekitar mulai naik dengan air. Tempoh untuk memulakan pesta air. mandi hujan memang menyeronokkan tempoh ini. Air yang gugur dari hujung atap zink ibarat air terjun di bukit yang tinggi. Rakit batang pisang akan dibina dan tiub tayar akan dipam sebagai pelampung. tempat untuk berpesta pula di kawasan rumah dan tidak membahayakan bukannya di kawasan sungai yang pastinya sengaja menempah bala bila tergelincir.

Biasanya bapa akan memasang pukat di tempat-tempat strategik yang menjadi laluan ikan air tawar. Ikan yang selalu dapat ditangkap ialah ikan haruan, puyu, selat, ikan sepat, ketam nipah dan lampam. Suka sangat bila menjamu nasi panas-panas dengan lauk ikan tawar goreng dan budu atau kicap. Ditambah pula dengan "ikan Budu" (ikan kembung yang diperam dengan garam +budu). Rasanya seperti ikan yang diperam seakan -akan ikan masin tapi lagi sedap bila makan tempoh musim hujan.


Diluar pula hujan lebat, sambil bersembang-sembang berkumpul saudara mara di beranda rumah pula dihidangkan kopi O panas pekat dengan ubi kayu rebus cicah nyiur atau pisang rebus. Biasanya juga dihidangkan juga putu piring cicah nyiur.Ingatan silam masih lagi segar. Buat lapar perut bila teringat




 Hujan juga membuatkan aktiviti hanya berkisar kepada tidur dan makan sahaja.Aktiviti luar dikurangkan.Rasanya mungkin sebab hujan jugalah membuatkan ramai golongan kelamin di Pantai Timur mempunyai anak yang ramai.Agaknya atau mungkin.Fikir-fikirkanlah. Pastinya hujan tetap akan membasahi bumi.



Tamat.

A Hierarchy Of Basic Needs, based on A/H Maslow, 1970

A Hierarchy Of Basic Needs, based on A/H Maslow, 1970




Ini adalah satu ilmu yang perlu dikongsi bersama mengenai keperluan asas yang perlu bagi kehidupan sebagai seorang manusia.


Kemampuan adakalanya tidak memenuhi kehendak kita yang diselaputi nafsu dan pelbagai . Namun inilah hierarki yang akan melengkapkan kepada kesempurnaan hidup.


Ia mungkin tidak bernilai bagi yang tidak memahami dan bagi yang memahami inilah garis kehidupan kita.

Ada Apa Hari Ini..?


Pagi tadi ketika melalui Lebuhraya DUKE untuk ke tempat kerja ,aku berselisih dengan sebuah motorsikal.Aku lihat si bapa menunggang motorsikal dengan anak dalam usia 2tahun di dalam raga motorsikal, si isteri pula dibelakang bersama anak yang masih kecil mungkin usia 6bulan dengan mata yang mungkin lagi masih mengantuk.Itulah sahaja cara yang murah, cepat dan pantas untuk si bapa.



Alahai kesiannya bila fikir,sebab itu sahaja kemampuan si bapa untuk tempoh ini.Hrmm, risiko untuk alami perkara yang tidak diingini peratusannya lebih tinggi berbanding menggunakan kereta namun ketidakmampuan menyebabkan kereta yang mungkin kini dikira sebagai keperluan asas tidak mampu disediakan lagi oleh si bapa.


Mungkin zaman dulu, orang berbangga bila berkereta kerana ia dianggap sebagai barang mewah tapi bukan kini. Kebaikan bermotorsikal ialah menjimatkan dan mampu mengurangkan kesesakan jalanraya tapi risiko juga tinggi terutama bila banyak nyawa dipertanggungjawabkan.


 
Aku rasa dua pengajaran yang mampu direnungkan disini iaitu :-



Pertama, kita kenalah bersyukur dengan segala apa yang kita mampu miliki kini.Biarpun berkereta buruk,tahun lama, kereta kosong (tak ada power stereng) atau mungkin model tempatan-"wannabe" atau "wallan" itu tidak kisah janji itulah kemampuan kita.
Ukur baju perlulah di baju sendiri, jangan ukur dibadan orang lain sebab saiz orang berbeza-beza.kadang-kadang kita juga mengeluh seorang, dulu masa mula-mula bekerja, gaji seribu cukup-cukup untuk hidup, naik gaji rm2K pun sama, cukup-cukup juga, naik lagi RM3K, cukup-cukup juga, tidak lebih tidak kurang.
Puncanya ialah kerana kehendak kita adalah sentiasa meluap-luap, mula dari dalam hati iaitu nafsu.Ianya makin bertambah bila isi poket kita makin tebal, maka makin teballah kehendak kita.Ada sahaja benda tidak cukup, perlu itu, perlu ini biarpun itu bukan satu keperluan.
Pengajaran kedua, kehidupan kita kini makin dicengkam dengan inflasi dan kenaikan harga barangan yang boleh mengoyakkan isi poket kita. namun kita perlulah menambah inisiatif mencari sumber pendapatan sampingan bagi kesinambungan hidup keluarga kita. sebagai lelaki yang bertanggungjawab dan sebagai ketua keluarga perlu berusaha mencari rezeki yang halal demi isi perut keluarga kita.
Memang, memang secara realitinya dalam keterpaksaan terutama bagi yang gajinya kecil, kita terpaksa buat kerana itulah hakikat hidup di zaman moden terutama tinggal di bandar-bandar besar terutama ibukota. masuk tandas sahaja kita perlu hulur 30 sen.Hendak bergerak dari lokasi A ke lokasi B pun kita terpaksa mengeluarkan duit terutama tol dan minyak.Makan di kedai kalau dalam tangan ada RM5, jangan berani cuba masuk dalam pilih ikut suka lauk pauk. Kesannya terpaksa gadai apa yang perlu digadai.Jika tidak pun terpaksa tolong basuh pinggan di belakang kedai.
Dulu 15 tahun dulu,mungkin kita mampu berjalan megah dengan duit RM10 untuk meronda-ronda ke pasar malam. Di kiri kanan penuh dengan apa yang mampu kita hajatkan kerana nilai dan harga pada masa itu masih lagi murah.


Tapi kini,dengan RM50 apa sangatlah barangan yang mampu kita bawa balik di tempat yang sama.Kuih muih sahaja boleh kita tengok hasilnya yang mampu kita bawa balik,sedih.Teringat kenangan silam yang semuanya murah-murah namun inilah hakikat dan kita terpaksa terima realiti kehidupan.
Kita hendaklah mensyukuri setiap nikmat dan rezeki yang kita perolehi hari ini, menghargainya dan menggunakan di jalan yang betul. Betul, esok mungkin ada "rezeki yang berlebih-lebihan" ibarat kata petikan dialog Sudin (orang kaya tamak yang akhirnya kena jahit)dalam cerita P.Ramlee- 40 Penyamun namun esok itu belum lagi jadi realiti, hari ini adalah yang pasti.


Rezeki adakalanya kita mampu perolehi dalam jumlah yang banyak dalam sekelip mata namun ia juga boleh hilang dalam sekelip mata.Bersyukurlah kerana bersyukur membuatkan kita insaf siapa kita.


"Nobody Perfect" namun ingat mengingati rasanya tidak salah. Fikir-fikirkanlah.



Ahad, 20 Februari 2011

Beli rumah mampu bayar

 ADA yang keliru membeli rumah sebagai keperluan atau untuk memenuhi impian. Maka, tidak hairan sekiranya ada yang sanggup mengikat perut membeli kediaman berharga RM300,000 walaupun tempoh bekerja tidak sampai lima tahun, sedangkan banyak rumah yang ditawarkan di pasaran bersesuaian dengan kadar pendapatan si pembeli.









APAKAH perkara utama yang harus difikirkan sebelum membuat keputusan untuk memiliki kediaman?
Perkara utama yang harus difikirkan sebelum membuat keputusan memiliki kediaman sendiri adalah melihat kemampuan kewangan. Ini kerana tidak semua individu yang bekerja dan mempunyai pendapatan tetap mampu membayar ansuran bulanan bagi kediaman mahal atau mewah.
Untuk memudahkan perancangan, kita perlu membuat pengiraan dengan menolak semua perbelanjaan termasuk hutang, simpanan dan pelaburan. Baki yang tinggal digelar sebagai lebihan dan ia menjadi penanda aras untuk menentukan rumah jenis apa yang harus dibeli. Perkara ini penting kerana ia akan menentukan hala tuju kewangan kita berikutan ia akan menjadikan pemilik rumah dapat mengawal dan merancang perbelanjaan dengan lebih bijak.
Sekiranya individu itu mempunyai lebihan sekitar RM500 sebulan, adakah dia perlu membeli kediaman yang memerlukannya membayar jumlah sama kepada bank?
Faktor pemilihan yang harus diambil kira adalah lokasi dan jumlah lebihan RM500 itu mungkin cukup sekiranya rumah itu berada pada lokasi setara.
Ada lokasi perumahan yang menyediakan kediaman jenis semi-D dengan harga kurang RM250,000 dan ada juga lokasi yang menetapkan harga sehingga RM700,000 untuk rumah jenis sama.


Maka, kita perlu memilih lokasi yang bertepatan dengan kemampuan kewangan dan sekiranya bayaran bulanan sebanyak RM500 itu hanya sesuai untuk kediaman jenis apartmen atau flat, maka ia adalah pemilihan yang bertepatan.






 Bagaimana pula jika bakal pembeli rumah mahu memiliki kediaman jenis semi-D berbanding apartmen atau flat dan memikirkan lebih baik membeli rumah yang agak mahal berbanding menyewa bertahun-tahun?


Ada pihak berpendapat bahawa lebih baik membeli rumah walaupun perbelanjaan bulanan mungkin tidak cukup berbanding menyewa bertahun-tahun. Pendapat itu mungkin tidak berapa benar kerana dengan menyewa, individu itu masih mampu menyimpan bagi membuat pembayaran pendahuluan lebih tinggi walaupun dia terpaksa menyewa hampir 10 tahun.
Pembeli harus memikirkan juga mengenai simpanan untuk kecemasan, insurans, pendidikan anak-anak atau perbelanjaan bulanan dan tidak seharusnya membelanjakan gaji yang ada hanya untuk membuat pembayaran ansuran rumah saja.







Apa pula perkara yang harus diambil kira sebelum membuat keputusan membeli rumah?
Banyak pihak hanya menyediakan wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah, namun tanpa disedari jumlah wang yang diperlukan adalah lebih banyak daripada itu kerana ia merangkumi kos guaman serta surat perjanjian jual beli. Maka, untuk lebih selamat, bakal pembeli perlu menyediakan wang sebanyak 15 peratus daripada harga rumah bagi mengelakkan kesesakan di kemudian hari.
Selain itu, antara tips yang boleh digunakan adalah bayar wang pendahuluan setinggi yang boleh supaya boleh memohon pinjaman bank serendah yang boleh serta tetapkan tempoh pembayaran sesingkat yang boleh antara 15 hingga 20 tahun.
Walaupun ada bank yang menawarkan pinjaman sehingga dua generasi kita pasti tidak mahu mewariskan hutang kepada anak-anak.
.


 Apa nasihat untuk mereka yang pertama kali membeli rumah?
Apa yang penting adalah kita perlu bezakan antara keperluan dan keinginan. Apa yang diperlukan adalah rumah untuk dijadikan tempat tinggal sekeluarga. Apa yang diidamkan adalah rumah mewah dua tingkat lot tepi.
Namun, sebagai permulaan, sekiranya keadaan kewangan belum mengizinkan kita memiliki rumah mewah dua tingkat lot tepi, langkah terbaik adalah mendapatkan kediaman selesa mengikut kemampuan.