“Beruntunglah badan. Wajahnya cantik, dipujai ramai pula!”
“Hebat sungguh dia. Sudah pakai kereta BMW…!”
“Kau dah tengok rumah dia? Dahsyat! Besar betul rumah dia. Bangga aku
jadi kawan dia!”
“Kau nak tahu tak, gaji dia sekarang sudah 5 angka! Pangkat besar dia
sekarang ni. Berjaya betul dia!”
“Bahagia betul dia tu kan. Asyik melancong je. Tiga bulan lepas ke
Australia. Minggu lepas ke London pula"
Begitulah penilaian manusia kepada manusia lain. Hebat, berjaya atau
beruntungnya seseorang semuanya dinilai pada rupa, wang, pangkat dan harta.
Makin cantik rupa, makin banyak wang, makin tinggi pangkat dan makin melimpah
harta, maka berjayalah seseorang itu pada pandangan manusia. Jika tidak
mempunyai salah satu darinya, maka akan dinilailah seseorang itu sebagai orang
yang rugi dan tidak berjaya. Itulah kejayaan definisi kebanyakan manusia.
Penilaian ALLAH `Azza wa Jalla yang merupakan TUHAN yang mentadbir dan
memiliki alam seluruhnya ini tidak begitu. ALLAH menilai manusia bukan kepada
rupa, wang, pangkat atau harta. DIA, TUHAN Yang Maha Agung menilai manusia
berdasarkan iman, amalan dan taqwa yang dipunyai oleh seseorang manusia
itu.
Ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung di sisi ALLAH telah disenaraikan
di dalam al-Quran dalam banyak ayat. Antaranya ialah di dalam surah al-Baqarah,
ayat 2-5. Di dalam ayat tersebut, ALLAH mencirikan orang yang berada di atas
jalan hidayah ALLAH dan berjaya ialah orang-orang yang menjadikan al-Quran
sebagai sumber rujukan dan petunjuk. Merekalah orang-orang yang bertaqwa, iaitu
yang beriman dengan sungguh-sungguh dengan hal yang ghaib, mendirikan solat,
menginfaqkan sebahagian kurniaan yang telah ALLAH berikan, beriman dengan apa
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam serta apa yang
diturunkan kepada para nabi sebelum Baginda. Mereka juga sangat-sangat yakin
dengan adanya kehidupan dan pembalasan Hari Akhirat lalu berusaha mendapat
balasan yang baik pada hari tersebut.
Di dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 pula, tersenarai lagi beberapa ciri
orang-orang yang berjaya untuk kita lekatkan pada diri kita. Mereka yang
berjaya ialah orang-orang yang beriman yang khusyuk di dalam solatnya, yang
menjauhkan diri mereka dari perkara-perkara yang tidak berguna, yang menunaikan
zakat, yang menjaga kemaluannya, yang menjaga amanah dan janjinya serta
orang-orang yang menjaga solatnya.
Orang yang khusyuk dan menjaga solat adalah antara ciri orang yang berjaya
pada pandangan ALLAH.
Orang-orang mukmin yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada
hal-hal yang ma`ruf dan yang mencegah dari perkara-perkara yang mungkar juga
termasuk di dalam orang-orang yang berjaya. Hal ini telah disebut oleh ALLAH
Jalla wa A`la di dalam ayat 104 dari surah ali-`Imran.
Surah al-A`la dan asy-Syams pula menyebut orang yang beruntung pada
pandangan ALLAH ialah orang-orang yang menyucikan jiwanya dengan beriman
bersungguh-sungguh kepada ALLAH.
Dan di dalam surah yang biasa kita baca iaitu surah al-`Asr, ALLAH `Azza wa
Jalla telah menyebut semua makhluq yang dinamakan manusia berada di dalam
kerugian. Ya, semua dalam kerugian. Yang tidak rugi ialah manusia yang beriman
kepada ALLAH, yang beramal dengan amalan yang soleh, yang nasihat-menasihati
dengan kebenaran dan juga supaya tetap dalam kesabaran.
Nah, itulah antara ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung yang telah
disebut oleh ALLAH Ta`ala di dalam al-Quran. Cuba bandingkan dengan kayu ukur
penilaian-penilaian manusia.
Marilah kita sama-sama bermuhasabah adakah selama ini kita pernah menitik
beratkan penilaian ALLAH dalam menilai diri kita? Atau adakah selama ini kita
terperangkap dengan penilaian manusia lalu berlumba-lumba menaikkan nilai rupa,
wang, pangkat dan harta untuk dinilai berjaya pada sisi pandangan manusia?
Penilaian siapakah yang sepatutnya kita kejar dan utamakan?
Terpulanglah kepada masing-masing. Kerana kita akan bertanggungjawab
sepenuhnya ke atas tindakan kita. Pada Hari Akhirat nanti kita masing-masing
akan dibangunkan untuk dihisab terhadap semua perbuatan kita ketika hidup di
dunia.
Jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan manusia yang kita kejar
selama hidup di dunia, maka nasib kita akan diserahkan kepada manusia-manusia
itu pada Hari Akhirat nanti. Bagaimana nasib akhir kita? Fikirlah
sendiri!
Manakala jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan ALLAH yang kita
kejar selama hidup di dunia yang sementara ini, maka nasib kita akan diserahkan
kepada ALLAH Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Dan sebaik-baik diserahkan
urusan kita ialah kepada ALLAH `Azza wa Jalla!
ALLAHU A`LAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan